JPJ kesan kegiatan sewa motosikal kepada warga asing - Utusan Malaysia

JPJ kesan kegiatan sewa motosikal kepada warga asing

ZULKARNAIN Yasin (dua dari kanan) memeriksa sebahagian motosikal yang disita dalam Ops Pewa di Ibu Pejabat JPJ Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesan satu kegiatan menyewa motosikal kepada warga asing yang disyaki didalangi warga tempatan.

Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yasin, berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan berkenaan telah lama aktif dengan kadar sewaan antara RM350 sehingga RM500 sebulan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati warga tempatan berusia 50-an beralamat di Marang itu memiliki sehingga 40 buah motosikal pelbagai jenis untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

Karanya, kegiatan itu dikesan dalam Ops Pewa selama dua hari bermula semalam.melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Hasil soal siasat ke atas beberapa warga asing yang ditahan, kami mendapati ada seorang individu disyaki menyediakan perkhidmatan sewa motosikal kepada warga asing.

“Siasatan awal mendapati sebanyak 40 buah motosikal didaftarkan atas seorang penama warga tempatan dan JPJ negeri sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kegiatan berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, seramai 138 warga asing terdiri daripada 116 warga Rohingya, 16 warga Bangladesh, tiga warga Indonesia, dua warga Pakistan dan seorang daripada Kemboja telah dikenakan tindakan dalam operasi itu.

Selain itu, Zulkarnain berkata, sebanyak 567 buah kenderaan diperiksa dengan 79 daripadanya telah disita atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu (134), tiada perlindungan insurans (38) dan memandu bawah umur (1).

“Sebanyak 284 saman dan 79 notis turut dikeluarkan selain dua buah motosikal curi telah dikesan. Malah ada kes pembelian motosikal oleh warga asing namun didaftarkan atas warga tempatan.

“Ini adalah kesalahan serius dan JPJ Terengganu akan terus mempergiatkan usaha mencegah kesalahan berkaitan bersama agensi lain bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN