SEREMBAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan kini sedang mengesan ahli keluarga yang lain kepada seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang diperkosa dan pukul oleh bapanya dalam kejadian di Kendong, Rembau, di sini baru-baru ini.
Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, langkah itu adalah bagi menentukan kesesuaian penempatan remaja berkenaan selepas ini.
Bagaimanapun menurutnya, berdasarkan perancangan, sekiranya tiada ahli keluarga yang mampu menjaga remaja berkenaan, pihaknya akan menempatkan remaja itu di institusi JKM.
“Ini bagi tujuan perlindungan dan penjagaan. JKM juga akan memastikan kanak-kanak ini menyambung persekolahan walau di mana penempatan dirinya kelak.
“Bagi tujuan ini, pelindung JKM akan terus memantau selain tindakan kaunseling bagi membantu dirinya mengatasi trauma yang dihadapi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rosnah berkata, mangsa kini masih dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah dan dilaporkan berada dalam keadaan baik.
“Keadaan kecederaannya juga semakin sembuh dan mangsa dalam keadaan stabil, namun masih diberi rawatan serta dipantau pegawai perubatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, reman suspek yang tamat semalam kini dilanjutkan selama lima hari sehingga 1 Februari ini bagi membantu siasatan.
Pada 24 Januari lalu, media melaporkan seorang remaja perempuan dipukul teruk oleh bapanya menggunakan pelbagai objek sehingga cedera.
Mangsa dipercayai dipukul dengan teruk disebabkan bapanya tidak berpuas hati dengan tindakannya membocorkan kejadian itu kepada teman wanita bapanya yang turut tinggal di rumah tersebut.
Mangsa mengalami kecederaan di bahu kanan, kiri, bahagian belakang kepala sebelah kiri, tangan sebelah kanan dan di bibir.
Suspek memukul mangsa menggunakan tangan serta beberapa alatan seperti kerusi plastik, bakul kain plastik dan meja seterika. – UTUSAN