PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan sebanyak 7,771 kes penyeludupan tahun lalu membabitkan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM567 juta.
Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, kes rampasan tertinggi direkodkan membabitkan rampasan dadah jenis Fentanyl seberat 807.9 kilogram yang bernilai sebanyak RM44.4 juta.
“Setakat ini, JKDM melaksanakan peranan yang aktif bagi melicinkan aktiviti perdagangan rentas sempadan dan menjamin rantaian perdagangan yang selamat,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Kastam Sedunia 2024 di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Anis berkata, JKDM memperkenalkan anugerah baharu sempena Hari Kastam Sedunia pada tahun ini, iaitu Anugerah Wira dan Wirawati Kastam bagi menghargai jasa warga kastam ketika bertugas.
Katanya, penganugerahan ini diberikan kepada pegawai-pegawai pelbagai lapisan sebagai tanda menghargai usaha mereka yang terus berbakti kepada JKDM.
“Pegawai dan kakitangan JKDM sentiasa berdepan dengan risiko dan musibah seperti dilanggar oleh tonto, kereta disimbah cat, diugut dengan penghantaran peluru serta pelbagai ancaman lain. Mereka ini adalah wira dan wirawati JKDM yang tidak didendang,” katanya.
Katanya, pihaknya percaya penganugerahan ini akan membentuk semangat juang yang lebih tinggi di dalam hati pegawai JKDM untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada negara.
Anugerah Wirawati Kastam dianugerahkan kepada Allahyarham Anisah Ali, pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang maut dirempuh tonto pada 2016 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada suami arwah, Mohd Baharudin Hamid, 65.
Dalam kejadian pada 7 Oktober 2016, kenderaan dinaiki arwah bersama seorang lagi rakan sekerja dirempuh tonto di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, Kelantan ketika menyertai satu operasi membanteras aktiviti penyeludupan rokok seludup. – UTUSAN