SABAK BERNAM: Sebuah jeti perkampungan nelayan di Sungai Besar di sini, digempur selepas dikesan menjadi stor simpanan pelbagai peralatan yang dipercayai bagi kegiatan mencuri kerang.
Serbuan itu dijalankan Jabatan Perikanan Selangor dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, kira-kira pukul 8 pagi kelmarin.
Op Hurricane Bersepadu selama sembilan jam itu membawa kepada rampasan pelbagai peralatan termasuk kor bergalah dan tangguk tangan bernilai RM39,000.
Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, operasi khas itu dilakukan hasil risikan pihaknya mengenai aktiviti pendaratan benih kerang curi di jeti nelayan.
Katanya, pemeriksaan mendapati wujud ruangan dan binaan yang dijadikan tempat menyimpan alat bagi kegiatan pencurian kerang.
“Rampasan melibatkan tujuh kor bergalah, 63 tangguk tangan halus dan 35 tangguk besi.
“Selain itu, lapan set rawa sorong dan 12 unit bubu naga turut dirampas bagi tindakan lanjut ,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Noraisyah, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Perikanan 1985 Peraturan-peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002.
“Sabit kesalahan memperuntukkan denda tidak lebihim RM 10,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali. Tiada penahanan individu dilakukan setakat ini dan siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya. – UTUSAN