Jemaah Menteri tidak tahu mengenai bon AS$3.5B

Jemaah Menteri tidak tahu mengenai bon AS$3.5B

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bon sebanyak AS$3.5 bilion yang diterbitkan melalui usahasama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan firma pelaburan, International Petroleum Investment Company (IPIC) tidak pernah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Menurut Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin, Kementerian Kewangan juga tidak mengetahui mengenai bon tersebut yang diterbitkan dalam dua transaksi.

“Datuk Seri Najib (Tun Razak)  sebagai Menteri Kewangan tidak membawa kepada pengetahuan Jemaah Menteri berkaitan terbitan bon AS$3.5 billion sedangkan obligasi pinjaman oleh sebuah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) akan memberi implikasi kepada Kewangan Negara.

“Kementerian Kewangan tiada pengetahuan tentang terbitan dua bon yang masing-masing berjumlah AS$1.75 billion bagi pengambilalihan (syarikat pengeluar tenaga bebas) Tanjong Energy Holdings Sdn. Bhd. (TEHSB) dan Genting Sanyen,” kata saksi pendakwaan ke-49 itu.

Selain itu, Nur Aida ketika membaca penyataan saksinya menyatakan, terdapat dua resolusi ditandatangani Najib dilampirkan pada Resolusi Ahli Lembaga Pengarah (DCR) dan perlu ditandatangani oleh semua Ahli Lembaga Pengarah (BOD).

Ujar Nur Aida, ia menunjukkan bahawa keputusan muktamad sudah dibuat dan BOD hanya perlu menurut sahaja mandat itu.

“Dua Resolusi iaitu  Minit 1MDB Oleh Wakil Syarikat Induk Berkaitan Prosiding Syarikat Subsidiari dan Resolusi Pemegang Saham Keutamaan Boleh Tebus Hak Khas Secara Bertulis telah siap ditandatangani oleh Datuk Seri Najib telah dilampirkan pada DCR yang perlu ditandatangani oleh semua BOD yang menunjukkan bahawa ‘ultimate decision’ telah dibuat dan BOD hanya perlu menurut sahaja mandat tersebut.

“Ini dapat dilihat dengan jelas dalam perolehan Genting Sanyen yang dibuat sangat pantas dan semua keputusan diperolehi melalui DCR tanpa dibawa masuk dan dibincangkan dengan terperinci dalam Mesyuarat BOD 1MDB walaupun membabitkan  keputusan bagi pelaburan yang bernilai sangat tinggi,” katanya.

Selain itu, Nur Aida berkata, akaun peribadi Najib menerima AS$30 juta daripada sebuah syarikat samaran, iaitu Blackstone Asia Real Estate Partners, di mana kemasukan wang itu adalah sumber daripada terbitan bon berjumlah AS$1.75 bilion  oleh anak syarikat 1MDB, iaitu 1MDB Energy (Langat) Limited.

“Secara keseluruhan, di antara 30 Oktober 2012 dan 20 November 2012, terdapat kemasukan wang berjumlah RM90,899,927.28 daripada akaun Standard Chartered Bank, Singapore milik Blackstone Asia Real Estate Partners ke dalam akaun AmPrivate Banking-MR 211-202-200969-4 milik Datuk Seri Najib,”kata Nur Aida.

Blackstone ialah sebuah syarikat yang dikatakan dikawal oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low, melalui rakan sekutunya Tan Kim Loong atau Eric Tan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 24 Januari ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN