JAKARTA: Penyanyi, Jaz Hayat memaklumkan kecergasannya bertambah baik selepas menjalani pembedahan ligamen lutut kali kedua, tiga tahun lalu.
Kata penyanyi kelahiran Brunei itu, dia kini sudah mampu berdiri secara normal dan bergerak aktif ketika membuat persembahan tanpa kesakitan
“Saya alami anterior cruciate ligament (ACL) kerana cedera ketika bersukan pada tahun 2018. Selepas satu tahun, barulah saya jalani pembedahan.
“Saya pernah tidak berjalan selama tiga minggu selepas pembedahan itu. Pada 2021, saya ulangi pembedahan sama kerana tidak disiplin menjalani fisioterapi susulan pembedahan pertama.
“Alhamdulillah kesihatan saya semakin pulih dan sudah boleh beraktiviti seperti biasa, tidak perlu lagi menyanyi sambil duduk,” katanya menerusi sesi Zoom baru-baru ini.
Jaz, sebelum ini pernah mencipta populariti apabila lagu, Karma, yang dinyanyikannya secara duet bersama Kaka Azraff mencuri perhatian peminat.
Penyanyi berusia 30 tahun itu kini mengintai peluang untuk sekali lagi berduet dengan artis kelahiran Malaysia.
“Kalau boleh saya nak berkolaborasi dengan penyanyi rap dari Malaysia. Mungkin kumpulan K-Clique kalau berpeluang.
“Zizan Razak juga penyanyi rap yang bagus. Saya tidak menolak kalau dapat bekerjasama dengan beliau,” kongsinya.