Jangan sentuh ulat bulu laut

Jangan sentuh ulat bulu laut

ulat bulu
DUA ekor ulat bulu laut yang ditemukan di tepi pantai berhampiran dengan UMT, Kuala Nerus, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Orang ramai yang berkunjung ke pantai di sekitar Terengganu dinasihatkan agar berhati-hati sekiranya terjumpa organisma marin dikenali ulat bulu laut dipercayai daripada spesies Amphinome rostrata

Ketua Unit Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Izwandy Idris berkata, pengunjung pantai terutama kanak-kanak tidak boleh menyentuh hidupan tersebut yang mempunyai rupa seakan-akan ulat bulu kerana berisiko terhadap keselamatan manusia.

Menurutnya, Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang berlaku di Laut China Selatan sekarang menyebabkan banyak kedamparan organisma serta benda-benda hanyut di pantai akibat arus dan ombak yang kuat.

“Semalam, seorang sukarelawan Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan, Wan Azmir Rizal Wan Anuar telah menemukan dua ulat bulu laut yang dipercayai daripada spesies Amphinome rostrata (Pallas 1766) semasa berjalan di tepi pantai berhampiran dengan UMT.

“Ulat bulu laut ini adalah nama panggilan tempatan bagi kumpulan cacing laut (Annelida, Polycheata) yang mempunyai struktur seperti kuku ‘cheatae’ di sepanjang badan yang menyerupai ulat bulu.

“Namun, dalam bahasa Inggeris ia dipanggil ‘fireworm’ (cacing api) kerana sesiapa yang menyentuh atau memegangnya akan rasa sakit seperti terkena api,” katanya di sini, hari ini.

Organisme laut itu adalah spesies yang banyak dijumpai bersama dengan ‘teritip angsa’ yang melekat pada benda hanyut seperti kayu serta sampah laut dan dijumpai di lautan seluruh dunia.

Tambahnya lagi, ‘chaetae’ di badannya adalah tajam serta rapuh dan mudah melekat ke kulit bila disentuh.

“Spesies daripada kumpulan ulat bulu laut ini (famili Amphinomidae) mempunyai kelenjar bisa dan ia boleh memasuki badan melalui luka tusukan ‘chaetae’ yang patah.

“Gabungan luka akibat ‘chaetae’ yang patah dan bisa daripada kelenjar bisa boleh menimbulkan rasa sakit yang kuat, bengkak di tempat yang terkena serta tindak balas alahan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang terjumpa dengan organisme itu perlu melaporkannya segera kepada pihak berkuasa terdekat untuk tujuan pemantauan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya