PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi peringatan kepada mana-mana individu di negara ini supaya jangan sekali-kali mengambil tindakan yang melampaui lunas undang-undang.
Menerusi sidang akhbar khas yang diadakan di sini hari ini, Saifuddin turut memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman rakyat di luar sana adalah menjadi keutamaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Jadi dalam menjalankan siasatan dengan merujuk kepada insiden (molotov cocktail) itu, kita akan lihat kepada semua punca seperti motif, mengesan pelaku, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian dan berhampiran dan menemu bual saksi, itu semua adalah proses yang saya percaya PDRM cukup profesional untuk laksanakannya.
“Justeru, pengajaran daripada insiden ini adalah PDRM (tetap) komited dalam menjaga ketenteraman awam.
“Yang kedua, kita gesa rakyat diluar sana, mana-mana individu jangan sekali-kali mengambil tindakan melulu yang melampaui lunas undang-undang kerana kesannya buruk,” katanya.
Terdahulu media melaporkan rumah Datuk Ngeh Koo Ham di Beruas, Perak dibaling ‘molotov cocktail’ atau bom petrol di kediaman Ahli Parlimen Beruas di Manjung awal pagi tadi.
Kejadian pada pukul 2.50 pagi itu menyebabkan kebakaran yang memusnahkan salah sebuah kereta Koo Ham. – UTUSAN