SEPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan pasukan penguatkuasaan terhadap kes rasuah membabitkan tokoh kenamaan tidak harus dipolitikkan biarpun ia tidak disenangi ramai pihak.
Perdana Menteri berkata, beliau mengakui tindakan tegas itu tidak menyenangkan pihak tertentu, namun ia perlu dibuat demi negara.
“Kontrak besar dan rundingan terus bocor mencecah bilion ringgit dan saya tidak tokok tambah. Saya ada tanggungjawab pertahankan apa saya hujahkan.
“Bila batalkan umpamanya kontrak rundingan terus setiap kontrak dapat penjimatan sama ada namanya Jana Wibawa atau tebatan banjir,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Arahan Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 sempena Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 di sini, hari ini.
Katanya, beliau tidak akan membiarkan elemen rasuah terus berleluasa sama ada ia melibatkan penyokong kerajaan atau pembangkang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, amalan (rasuah) itu tidak akan dibenarkan sama sekali dalam pentadbirannya.
“Sampai bila nak biar macam ini, kenapa isu seperti ini dipolitikkan. Jika saudara ada kesetiaan kepada sesiapa itu masalah saudara, minat pada parti politik itu soal saudara.
“Jangan hanya bicara soal nilai, agama dan bangsa tetapi pada masa sama mempertahankan pengkhianatan kepada bangsa, agama dan negara.
“Sama ada parti sokong saya atau tidak, itu soal lain. Namun, ia tidak mempengaruhi keputusan (membanteras rasuah) saya,” katanya.
Jelasnya lagi, beliau juga mahu badan penguatkuasaan mengambil tindakan tegas terhadap tokoh besar sekiranya ada data, fakta dan alasan kukuh tanpa mempedulikan kedudukan dan pengaruh individu itu.
“Sekiranya ada (fakta), saya tidak peduli kedudukan pengaruh atau dana kerana tindakan tegas harus diambil dan kita telah mulakan. Saya ucap tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tunjuk keberanian,” katanya.
Sementara itu, beliau memuji komitmen barisan Jemaah Menteri, penjawat awam yang kini banyak menunjukkan kesungguhan untuk tingkat tata kelola dan bawa perubahan kepada negara.
“Ramai nampak komited dan sealiran untuk ambil tindakan tegas dan berani selamatkan negara dari kebejatan tata kelola buruk dan rasuah membarah,” katanya.
Mengenai pengenalan Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 hari ini, Anwar menyifatkan arahan itu penting untuk memantapkan tata kelola nasional terutama melibatkan perkhidmatan awam.
Empat terma rujukan digariskan dalam Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 iaitu Reformasi Institusi, Dasar dan Undang-undang; Sistem dan Prosedur Kerja; Pemantauan dan Penilaian serta Pembudayaan Amalan Nilai dan Tatakelola Baik. – UTUSAN