Jangan Jadi Intelektual Sombong

Jangan Jadi Intelektual Sombong

Zambry Abdul Kadir mengikuti Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ahad lalu, berakhirlah pemukiman Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) di dewan keramat, Dewan Tun Dr. Ismail, World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.

Wacana yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilihat sebagai tamsilan betapa pentingnya institusi pendidikan tinggi negara bergerak sederap dengan aspirasi negara. Anjakan paradigma menerusi perubahan yang sistematik dan tangkas sepertimana seruan Perdana Menteri dalam ucapan perasmian beliau wajar dijadikan teladan dan titik perubahan ke arah yang lebih cemerlang.

Tentunya sepanjang penganjuran wacana ini pelbagai cadangan, isu dan prakarsa telah dibincangkan secara ilmiah melibatkan warga besar KPT sendiri, barisan Naib Canselor, rakan industri dan pemegang taruh yang lain.

Menariknya, kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud serta pengurusan tertinggi KPT dari awal hingga ke akhir program menunjukkan betapa pentingnya wacana ini sebagai pemacu kepada perancangan yang mendatang.


Zambry Abdul Kadir

Kita yakin Yang Berhormat Menteri pastinya akan menekuni setiap topik yang dibentangkan, menapis dan menggarap kesemua buah fikiran ini agar perancangan tersebut dapat diterjemahkan melalui pelan strategi dan tindakan KPT.

Rumusan menteri, Kementerian Pendidikan Tinggi adalah tempat di mana ilmuwan dan cerdik pandai berkumpul (Brain of The Nation). Di sinilah ufuk ilmu diteroka, dikaji dan akhirnya diterjemah melalui pembentukan dasar, polisi, rekaan inovasi untuk manfaat manusiawi.

Jangan sesekali kita lupa, di sinilah pelbagai kemahiran kognitif dan generik dibangunkan agar modal insan yang lahir mampu digembleng tenaga dan ilmunya demi kemaslahatan semua. Kita gembira kerana menteri telah memberikan jaminannya untuk meneruskan legasi kepimpinan terdahulu.

Segala perancangan yang baik dan dirancang akan diteruskan oleh beliau. Sifat terbuka pemimpin utama KPT adalah amat penting bagi membantu agensi-agensi pelaksana di bawahnya untuk meneruskan segala perancangan yang telah dirancang. Kita tidak mahu perancangan ini hanya dilihat sebagai perancangan separuh masak yang akhirnya akan membazirkan masa dan tenaga.

Tidak mengapa jika kaedah dan pelaksanaannya diubah asalkan menuju ke arah keberhasilan yang sama. Inilah bagi kita pemimpin berjiwa besar yang tidak terburu-buru. Walaupun di awal rumusan beliau, menteri secara sinis menyindir ada yang mempersoalkan siapa Zambry? Bolehkah beliau memimpin KPT? Namun tak kenal maka tak cinta.

Di awal kariernya, beliau sendiri merupakan seorang ahli akademik sebelum berkecimpung ke bidang politik. Namun sebagai “orang baharu” di kementerian ini, beliau tanpa segan silu bersedia untuk “berguru” dengan mereka yang telah lama bertapak dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.

Zambry juga dilihat tidak kekok untuk meladeni ilmuwan-ilmuwan senior yang turut dijemput sepanjang wacana ini berlangsung. Ini jelas menampakkan pendekatan mesra beliau yang menggabungkan sarjana lama dan baharu. Ditambah lagi dengan rumusan beliau yang disertakan nota-nota kaki yang dipetik daripada karya tersohor seperti buku ‘Excellence Without A Soul’ dan ‘The Real Life of Knowledge’.

Sebab itu beliau dengan tegas menempelak sarjana sombong dan egois atau dengan izin ‘Intellectual Arrogant’. Sarjana seperti ini, pola pemikirannya merasakan dirinya hebat, angkuh dan bongkak ketimbang orang lain. Menteri menekankan untuk semua pihak bekerjasama dalam sebuah pasukan yang jitu dan ampuh.

Apa pun kejayaan yang mendatang, kejayaan itu tidak mampu digapai secara berseorangan. Seruan menteri itu menggambarkan keikhlasan beliau dalam memacu KPT tanpa meninggalkan sesiapa pun di belakang. Memetik ungkapan Perdana Menteri ketika merasmikan wacana ini, dalam kita mengejar kejayaan dan kecemerlangan, jangan lupa leluhur budaya dan asal usul kita. Gapailah langit namun semestinya mengakar ke bumi.

Zambry turut berterima kasih di atas pelbagai cadangan dan perancangan yang dikemukakan oleh lima kluster utama melibatkan Penyediaan Bakat, Penyelidikan dan Inovasi, Pemindahan dan Perkongsian Ilmu, Pengantarabangsaan dan Ekosistem Pembolehdaya. Segala garapan idea tersebut merupakan satu keterangkuman yang inklusif yang tentunya memerlukan wadah kerjasama yang jitu dalam kalangan semua agensi di bawah KPT. Ini termasuklah IPT sama ada dari institusi awam mahupun swasta.

Kita sedar pastinya ada halangan sama ada dalam bentuk kewangan dan ketidaktentuan (uncertainty). Namun cabaran tersebut mampu diatasi melalui pelan perancangan yang tertib dan tersusun. Jadinya, walaupun kita berusaha menggapai langit, namun tidaklah sampai langit ke-7 kerana bukan segalanya isu dan masalah perlu dirukuni di bawah KPT.

Kita akur juga akan hambatan dan ranjau yang ada. Rumusan yang ringkas namun padat oleh menteri itu menunjukkan beliau bersedia menggalas tugas yang mencabar ini dengan penuh tanggungjawab dan hikmah. Tentunya pasukan beliau yang terdiri daripada seluruh warga KPT bersedia sederap untuk melaksanakan segala amanah yang dipikul.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN