KUALA LUMPUR: Artis versatil popular, Elly Mazlein, berpandangan soal rezeki dan kejayaan yang diraih tidak seharusnya mencetuskan persaingan berunsur dengki apatah lagi menyebarkan dakyah yang tidak tepat berhubung rakan sesama industri.
Jelasnya, pemain industri seni tempatan sedar ruang permainan yang ada tidak sebesar mana dan seharusnya rakan sesama artis saling menyokong antara satu sama lain untuk terus mencipta keharmonian.
“Dunia seni kita ini tak besar mana untuk kita nak jadi orang yang bersifat toksik. Ada yang cuba pecah belahkan antara peminat. Jangan jadi budak-budak. Move on.
‘Percaya kepada rezeki. Jadilah seorang yang matang. Saya bukan hebat sangat. Jauh lagi perjalanan mahu jadi hebat itu. Tetapi saya usaha.
“Ini kan lubuk rezeki untuk semua orang. Sama-sama kita raikannya. Sama-sama kita nikmati rezeki yang Tuhan kurniakan. Masing-masing ada rezeki mereka sendiri,” ujarnya.
Menganggap dirinya masih hijau, pelakon dan pengacara yang cukup popular dengan nama Kak Lina Pom Pom itu juga menolak agenda penyebaran fitnah yang akhirnya boleh menjatuhkan nama baik seseorang.
“Kenapa tidak kita saling sokong-menyokong? Sampai bila nak sindir menyindir, meluahkan pendapat yang boleh menjatuhkan fitnah? Itu kan akhirnya membawa padah kepada diri kita sendiri.
“Jangan kerana nila setitik, rosak susu belanga. Jangan kita jadi manusia yang suka pecah belahkan sesiapa. Peminat juga saling menyokong antara kami, setiap satu ada keunikan dan identiti,” ujarnya.
Pelakon Kampung People itu sebelum ini pernah terkait dengan spekulasi kononya disindir seorang rakan artis yang kurang senang dengan gelagat dan cara pengacaraan yang disifatkan terlalu gedik.