KUALA LUMPUR: Gitaris tersohor, Man Kidal berpesan kepada penyanyi atau pemuzik di negara ini agar tidak bersikap ‘asal boleh’ dalam menganjurkan sebarang konsert atau persembahan.
Katanya, kepuasan peminat adalah perkara yang diutamakan dan bukannya sekadar terima bayaran lumayan hasil membuat persembahan.
“Kita mahukan persembahan yang berjaya, bukan sebab bayaran sahaja. Kita mahu show yang bagus dengan kehadiran ramai pengunjung.
“Saya dan ahli Search lain pada umur sekarang hanya mahu melihat peminat berpuas hati dengan persembahan kami.
“Kalau semata-mata kerana duit, lebih baik jangan buat. Kita kena fikir peminat dengan berikan persembahan berkualiti yang mengikut kemampuan kita,” katanya dalam sidang media, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Man tidak menafikan Search ada dirisik promoter luar negara untuk membuat persembahan di Indonesia.
Bagaimanapun pengurusan kumpulan rock legenda itu teliti dan tidak sewenang-wenangnya menerima tawaran yang diberikan kepada mereka.
“Ada yang salah faham, mereka ingat promoter Indonesia tak panggil Search. Sebenarnya ada, cuma Search teliti dan tak sembarangan ambil (tawaran).
“Kami kena hati-hati kalau nak buat konsert di negara luar. Bukan apa, takut timbul masalah di sana.
“Selain penipuan, kami takut tak boleh deliver. Ini bukan soal bayaran semata-mata, ia tentang kepuasan peminat,” jelasnya.