TAWAU: Akibat perselisihan faham, seorang janda berusia 24 tahun bertindak agresif melibas kekasihnya menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di Batu 4, Jalan Apas baru-baru ini.
Tindakan itu mengakibatkan kekasihnya, lelaki yang berusia 30 tahun mengalami cedera di bahagian lengan dan betis kanan dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang dikatakan tinggal bersama sejak lima bulan yang lalu.
“Semasa pertengkaran berlaku, suspek bertindak agresif hingga mencederakan mangsa menggunakan sebilah pisau dengan menghayun ke arah lengan kanan serta kiri dan betis kanan mangsa.
“Tindakan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan kesan calar. Malah, suspek turut bertindak merosakkan harta benda termasuk beberapa keping cermin tingkap bilik mangsa menggunakan pisau tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Jasmin berkata, mangsa kemudiannya bertindak membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut dan sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah menjalankan serbuan dan tangkapan ke atas suspek.
Menurut beliau, semakan rekod kesalahan lampau menunjukan suspek mempunyai pelbagai kesalahan termasuk kes dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. –UTUSAN