Jambatan darat Thailand bukan ancaman KLIP

Jambatan darat Thailand bukan ancaman KLIP

AB. RAUF Yusoh (empat dari kiri) mendengar penerangan Noormustafa Kamal Yahya (empat dari kanan) ketika Majlis Perasmian Pecah Tanah KLIP di Kuala Linggi, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kerajaan negeri tidak melihat rancangan jambatan darat oleh Thailand yang memendekkan perjalanan kapal hingga tidak perlu melalui Selat Melaka sebagai ancaman kepada projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Selat Melaka masih menjadi pilihan syarikat perkapalan kerana kedudukan KLIP yang strategik di antara Singapura dan Pulau Pinang.

Kata beliau, KLIP berfungsi sebagai sebuah pelabuhan perkhidmatan dan bukannya pelabuhan perdagangan dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti tangki simpanan, limbungan kapal dan industri berat fabrikasi, dermaga serta kemudahan gudang.

“Segenting Kra (jambatan darat) ini bukan seperti Terusan Suez, kalau buat pun dia (kapal) tidak akan lepas masuk sebab kena beratur lama. Selat Melaka tetap pilihan utama disebabkan pengagihan kontena masih memerlukan jajaran ini.

“Apabila kita buat kajian tentang jambatan darat ini sebenarnya ia memunggah (menghantar) barang dari sebelah barat ke timur dan sebaliknya. Jadi jambatan darat ini bukan ancaman sebaliknya melengkapi peranan pelabuhan sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pecah Tanah KLIP di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif KLIP, Tan Sri Dr. Noormustafa Kamal Yahya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Thailand membangkitkan semula idea projek tersebut pada sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, Amerika Syarikat yang melibatkan kos RM131 bilion menerusi pembinaan pelabuhan baharu Ranong di barat dan Chumphon di timur yang akan dihubungkan melalui landasan kereta api atau jalan.

Sementara itu, Noormustafa Kamal berkata, beliau tetap optimis dengan KLIP dan perkembangan terbaharu itu tidak akan menjejaskan perancangan yang telah dibuat selama 18 tahun.

Jelasnya, jambatan darat itu sebenarnya tidak terlalu mesra kos dan masa seperti yang digembar-gemburkan banyak pihak.

“Sebenarnya kos untuk menguruskan kontena juga tinggi kerana barang perlu diturunkan dan dinaikkan semula ke atas kapal. Kapal sekarang bergerak laju sekitar 30 hingga 35 knot, jadi tiada masalah untuk berlayar ke Singapura dan naik semula.

“Ramai yang kata boleh jimat empat hingga lima hari tetapi sebenarnya dengan kelajuan itu satu hari pun sudah cukup. Kita akan tengok (projek jambatan darat), semoga berjaya,” ujarnya.

KLIP dijadualkan siap dalam tempoh 42 bulan pada 2027 dengan anggaran kos pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM115 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya