PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengumumkan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) bagi subjek Sirah yang dijadualkan berlangsung petang ini, ditangguhkan ke Selasa depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Hakiman Mohd. Yusoff berkata, keputusan itu diputuskan Jakim disebabkan isu teknikal yang tidak dapat dielakkan pihaknya.
Justeru, beliau mewakili Jakim memohon maaf terhadap sebarang kesulitan dihadapi calon dan ibu bapa berhubung penangguhan tersebut.
“Jakim memohon maaf atas kesulitan ini dan berdoa agar semua calon UPKK di seluruh negara dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada ujian yang sedang berlangsung. Semoga semuanya mendapat kejayaan yang cemerlang,” katanya.
Peperiksaan UPKK bagi subjek Sirah dijadualkan berlangsung hari ini bermula pukul 2.30 petang sehingga 4 petang. – UTUSAN