Jakim diarah usul isu pendaftaran Islam kepada jawatankuasa khas

Jakim diarah usul isu pendaftaran Islam kepada jawatankuasa khas

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarahkan untuk mengusulkan isu berkaitan pendaftaran pengislaman kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, arahan itu bersangkutan keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, yang mengekalkan status agama Islam tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong, yang ditukar secara sepihak oleh bekas suaminya, M. Nagashwaran atau nama Islamnya, Muhammad Nagashwaran Muniandy. 

Jelasnya, ia supaya sebarang hal berkaitan pendaftaran pengislaman dapat diharmoni dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa. 

“Saya menyeru agar semua umat Islam di negara ini dan seluruh rakyat Malaysia bertenang dan tidak memberi ulasan atau pandangan yang boleh mencetus suasana tidak sihat dan menjejaskan perpaduan serta keharmonian dalam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sehubungan itu, Mohd. Na’im berkata, ketika ini terdapat lapan negeri  menghendaki keizinan hanya daripada salah satu pihak sama ada ibu atau bapa bagi kemasukan Islam kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun iaitu Wilayah Persekutuan, Melaka, Sarawak, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Terengganu dan Perlis. 

Katanya, lima negeri lain yang menghendaki keizinan kedua ibu dan bapa bagi kemasukan Islam kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun ialah Pulang Pinang, Sabah, Johor, Selangor dan Pahang. 

“Bagi Pulau Pinang, Sabah, Selangor dan Johor, peruntukan mengenai keizinan kedua ibu dan bapa bagi kemasukan Islam kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun merupakan peruntukan asal dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam/Enakmen Majlis Agama Islam negeri-negeri. 

“…manakala Pahang mengganti perkataan ‘ibu atau bapa’ kepada ‘ibu dan bapa’ pada 2020 selepas keputusan kes Indira Ghandi,” katanya. 

Jawatankuasa yang ditubuh pada Disember tahun lalu itu asalnya bertujuan mengkaji isu-isu berkaitan kompetensi DUN serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Ia merupakan salah satu usaha dan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan konflik bidang kuasa antara Persekutuan dengan Negeri demi memartabat dan memperkasa perundangan syariah dan sistem kehakiman syariah di negara ini. 

Jawatankuasa itu baru-baru ini hangat apabila Ahli Parlimen Beruas daripada DAP, Ngeh Koo Ham sebelum ini mencadang supaya kerajaan  melantik pakar daripada bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam. 

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi, dilantik sebagai Pengerusi jawatankuasa berkenaan yang turut dianggotai 10 individu lain.

Antara yang dilantik menganggotai jawatankuasa khas itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohd Zawawi Salleh; Anggota Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.

Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pengislaman tiga kanak-kanak yang dibuat secara sepihak oleh bapa mereka tanpa kebenaran bekas isterinya tidak sah dan terbatal.

Dengan keputusan tersebut, agama bagi pasangan kembar yang kini berusia 16 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun kekal sebagai Hindu.

Ketika ditukar agama, anak-anak tersebut masing-masing berusia 11 dan sembilan tahun.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail dan bersidang bersama-sama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli sebulat suara memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila gagal mengambil kira dua isu utama.

Isunya adalah salah arah yang jelas menjurus kepada kesilapan dalam undang-undang berhubung isu tukar agama secara unilateral.

Pada 11 Mei 2023, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan ketiga-tiga anak Siew Hong masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat walaupun berada dalam jagaan ibu mereka.

Wanita itu memperoleh semula jagaan bagi ketiga-tiga anak tersebut selepas Mahkamah Tinggi berbeza membenarkan permohonan habeas corpus yang difailkannya supaya tiga beradik tersebut yang pada ketika itu berada di bawah jagaan persendirian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dikembalikan kepada Siew Hong serta-merta.

Wanita itu mempertikai pengislaman anak-anaknya yang dibuat oleh Nagashwaran secara sebelah pihak dan tindakan lelaki itu mendaftar anak-anak mereka sebagai muslim tanpa persetujuannya pada 7 Julai 2020.

Media sebelum ini melaporkan Nagashwaran yang telah memeluk agama Islam telah menukar agama anak-anak mereka pada Julai 2020 selepas berpisah dengan Siew Hong pada Mac 2019. Pasangan itu sah bercerai sekitar 2021. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya