Jabatan Imigresen ‘kutip’ 31 warga asing di kawasan tumpuan KL

Jabatan Imigresen ‘kutip’ 31 warga asing di kawasan tumpuan KL

ANGGOTA penguat kuasa memeriksa warga asing semasa Operasi Kutip di sekitar kawasan tumpuan di ibu kota, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 31 warga asing termasuk dua daripanya wanita menerusi Operasi Kutip di sekitar kawasan tumpuan di ibu kota, malam tadi.

Dalam serbuan bermula 9.30 malam, mereka yang berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk menyalahgunakan pas dengan menjalankan perniagaan.

Operasi dijalankan di sekitar pusat beli-belah Suria KLCC, Pavillion Bukit Bintang dan Jambatan Saloma di siniitu susulan aduan orang ramai mengenai kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama pada hari minggu di kawasan tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, serbuan dengan  kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membabitkan kekuatan 46 pegawai dan anggota.

“Kita menjalankan risikan selama seminggu berdasarkan maklumat awam sebelum operasi dijalankan malam ini. Seramai 120 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 31 individu ditahan atas pelbagai kesalahan iaitu 24 ditahan sekitar KLCC manakala tujuh ditahan di Pavillion.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada lapan warga Bangladesh; India (enam orang); masing-masing empat warga Indonesia, Pakistan dan Nepal; Filipina (tiga orang); masing-masing satu Afghanistan serta Syria,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan di KLCC malam tadi.

Beliau berkata, semasa serbuan dilakukan, turut berlaku cubaan melarikan diri namun kecekapan pegawai penguat kuasa berjaya menahan mereka.

Katanya, kesemua ditahan akan dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut sebelum warga asing yang didapati melanggar peraturan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39B Peraturan Imigresen.

Ditanya mengenai terdapat warga asing yang dikesan menjalankan perniagaan seperti menjual makanan dan minuman di kaki lima serta barangan lain, Jafri berkata, ia menjadi kesalahan sekiranya mereka gagal mengemukakan permit sah.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kebanyakan mereka menyalahgunakan pas atau permit kerja. Sepatutnya mereka masuk ke negara ini bagi pekerjaan di sektor tertentu tapi melakukan pekerjaan lain iaitu menjual,” katanya.

Kata beliau, JIM tidak berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap warga asing termasuk majikan atau individu yang didapati melindungi PATI. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya