KUALA LUMPUR: Lama mengunci mulut, primadona filem Melayu, Erra Fazira akhirnya tampil menafikan dakwaan gambar kahwinnya dengan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau lebih dikenali sebagai Peja.
Jelas Erra, dakwaan itu adalah fitnah semata-mata dan dia sedia memaafkan pihak-pihak yang mengada-adakan dan menyebarkannya khabar angin tersebut.
“Itu adalah fitnah. Tak apalah saya maafkan yang menyebarkan. Saya tahu diri saya macam mana dan bila dengar (gosip berkahwin) saya gelakkan sahaja.
“Sudah bertahun saya minta orang berhenti ada-adakan cerita (kahwin). Tapi ia datang lagi dan lagi. Jadi suka hati merekalah,” katanya.
Erra berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama Rampas Cintaku 2 di ibu negara, petang tadi.
Khabar angin mengaitkan Erra dengan ahli politik berkenaan kembali timbul apabila muncul cerita yang kononnya seorang rakan pelakon berkenaan ternampak gambar perkahwinan Erra dan Faizal ketika berkunjung ke kediaman pelakon jelita tahun lepas.
Erra dalam pada itu memaklumkan enggan namanya dikaitkan lagi dengan Ahmad Faizal bagi menghormati ruang kedua-dua pihak.
“Saya harap perkara itu tidak diperkatakan lagi. Kita kena hormati dia di tempat lain (politik) dan saya di dunia saya (hiburan),” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Erra mengesahkan dia masih bergelar ibu tunggal namun sedia menerima sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh.
“Saya masih bergelar ibu tunggal, sudah bertahun saya tegaskan perkara ini. Saya tak pernah tutup pintu hati, cuma belum diberikan rezeki (jodoh) lagi,” ujarnya.