TUARAN: “Saya harap tragedi yang menimpa Aidil menjadi iktibar dan tidak berulang kepada sesiapa pada masa hadapan.”
Itu luahan Lily Pius, 40, ibu kepada remaja yang didakwa meninggal dunia akibat kelalaian Hospital Tuaran ketika menjalankan pemeriksaan dan memberi rawatan kepada Aidil@Erjuand Christian.
Aidil,18, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) akibat demam denggi pada 29 Disember 2023.
Menurut Lily, mereka reda dengan pemergian anak kedua dalam keluarga dan kehilangan Aidil amat dirasai.
“Mendiang Aidil adalah anak yang baik dan sentiasa mendengar cakap orang tua. Aidil juga seorang yang sangat disenangi oleh adik-beradik dan rakan-rakan.
“Sehingga sekarang kami masih sukar untuk menerima pemergian Aidil, tetapi siapalah kami, hidup dan ajal manusia ditangan Tuhan,” katanya.
Sementara itu, ayah mendiang Aidil, Erwend Noun, 47, menyatakan terdapat sedikit kesilapan dalam kronologi peristiwa yang menimpa anaknya seperti dikongsikan kepada Ahli Parlimen Tuaran sebelum ini.
“Sebagai makluman, anak kami ini dihantar ke Hospital Tuaran pada 25 Disember dan kali keduanya adalah pada 28 Disember 2023 sebelum ditahan dan disahkan menghidap demam denggi berdarah.
“Kemudian anak kami dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth sebelum disahkan meninggal dunia pada 29 Disember, pada pukul 12.21 pagi,” katanya.
Erwend berkata, tiada yang lebih menyedihkan daripada kehilangan orang yang tersayang.
Pada 1 Januari lalu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkongsi hantaran dalam laman Facebook berhubung peristiwa yang menimpa Aidil.
Menerusi rakaman video berdurasi empat minit 51 saat itu, Madius menceritakan kisah remaja malang tersebut yang telah dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Tuaran sebanyak tiga kali namun hanya diberikan ubat demam, ubat pecah kahak dan pam asma serta suntikan anti mual.
Remaja itu hanya ditahan pada kali yang ketiga ketika gusinya mengalami pendarahan dan disahkan menghidap denggi berdarah sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth kerana keadaan mendiang yang semakin kritikal. – UTUSAN