PUTRAJAYA: Isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Naimah Khalid bersama dua anak lelakinya tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, sebentar tadi.
Beliau hadir dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna perak kira-kira pukul 10.05 pagi.
Turut mengiringi isteri bekas Menteri Kewangan itu adalah peguam, Rajesh Nagarajan.
Media semalam melaporkan, keterangan isteri dan anak kepada tokoh konglomerat terkenal itu dijangka diambil SPRM hari ini.
Keterangan ahli keluarga bekas pemimpin kanan itu akan diambil selepas SPRM memulakan siasatan terhadap beliau.
Proses berkenaan dilakukan selepas SPRM mendapati pemilik kepada bangunan Menara Ilham yang disita baru-baru ini adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh isteri dan anak kepada Daim.
Laporan Utusan Malaysia pada 25 Disember lalu mendedahkan SPRM akan memanggil Daim pada masa yang sesuai bagi merungkai pembelian aset dan pemilikan perniagaan di dalam dan luar negara. – UTUSAN