PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak terbabit dengan sebarang cubaan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan atau gerakan yang dipanggil sebagai ‘langkah Dubai’.
Pegawai khas kepada Ahli Parlimen Bera itu, Afifi Aris berkata, Ismail Sabri tidak terkait dengan teori ‘dongeng’ seperti mana yang didakwa.
Katanya, Ismail Sabri ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah dan sempat bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sana.
“Diri saya menjadi saksi kami semua tinggalkan seketika perihal politik negara dengan tumpuan mencari keredhaan Illahi dengan menunaikan ibadah wajib dan sunat untuk meraih pahala berganda.
“Dengan izin Allah SWT, Masjidil Nabawi di Madinah al Mukaramah menjadi saksi, dua sahabat akrab dipertemukan. Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Ismail Sabri berjemaah dalam saf yang sama dijarakkan dengan 6 Jemaah sahaja.
“Datuk Seri Ismail Sabri telah dimaklumkan keadaan Datuk Seri Ahmad Zahid yang tidak berapa sihat tempoh hari, dek kerana keadaan kesihatan yang tidak pulih sepenuhnya hasrat DSIS (Ismail Sabri) untuk menziarahi beliau tidak dapat dipenuhi,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, media melaporkan, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop mendedahkan wujud cubaan ‘Langkah Dubai’ yang didakwa digerakkan oleh pemimpin parti pembangkang, termasuk wakil tertentu kerajaan, dengan matlamat sama untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Afifi berkata, sepanjang Ismail Sabri tidak lagi menjadi Perdana Menteri, beliau banyak menghabiskan masanya dan sibuk dengan pelbagai program termasuk riadah dihujung minggu.
sibuk dengan pelbagai program termasuk riadah dihujung minggu.
“Kepada yang berada di Kerajaan, jalankan tanggungjawab dengan keyakinan bahawa mandat kerajaan kukuh. Apa yang kalian janji cuba laksanakan agar Kerajaan Perpaduan ini boleh diterima rakyat.
“Kepada mereka yang bercita cita mahu kembali ke Putrajaya, Rezeki dalam politik tidak pernah salah alamat tetapi jangan memijak dan membunuh saudara kita demi cita cita politik kalian.
“Atur dengan tertib bukan asyik bercerita esok tumbang. Kalian pembangkang, kerajaan dengan pelbagai agensi ini mestilah ada strategI juga. Jadinya tempur besar kita pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya. –UTUSAN