Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan bagaikan warna suram - Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan bagaikan warna suram – Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan Anggota MAIPk dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan bagaikan warna yang suram serta nama yang lompong tanpa pengisian yang bermakna.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Islam akan lebih dihormati dan akan terus dimuliakan jika majoriti penganut Islam terdiri daripada ummah yang memperlihatkan prestasi pencapaian yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

Titah baginda, untuk itu, ummah bertanggungjawab mewarnakan Islam yang bergemerlapan dan mengisi Islam dengan kandungan yang meyakinkan.

“Islam tidak wujud dalam vakum, tetapi wujud melalui dukungan para penganut yang menerima atau memilih Islam sebagai agama.

“Jurang besar yang dihadapi oleh masyarakat Islam ketika ini ialah penganut yang besar daripada segi angka, berbanding penganut yang benar-benar memahami, menghayati dan mengamalkan Islam.

“Imej Islam dan gambaran masyarakat dunia terhadap Islam dipengaruhi oleh tahap pencapaian dan status kejayaan umat Islam.

“Kejayaan meningkatkan syiar Islam sangat bergantung pada tahap kejayaan ummah. Oleh itu usaha dan program pembangunan insan sewajarnya diberikan fokus,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Baginda bertitah, agama Islam tegak atas dasar ilmu dan ilmu ialah teras untuk membangunkan masyarakat yang progresif dan tamadun yang agung.

Titah baginda, tahap penguasaan ilmu akan menentukan tahap pengertian, tahap fahaman dan tahap penguasaan sesuatu bidang kehidupan.

Baginda bertitah, ilmu ialah komponen yang akan membentuk nilai-nilai keperibadian seseorang insan yang akan mengangkat taraf kehidupan masyarakat dan yang akan menjulang kemuliaan sesuatu bangsa dan negara.

“Malah ilmu berperanan sebagai perisai paling kukuh untuk melindungi manusia daripada tergelincir akidah kerana terpengaruh dengan tafsiran ulama samaran, atau terpesong fahaman kerana ungkapan kata-kata pemimpin palsu yang bertopengkan agama.

“Jika keagungan Islam mahu dijulang, jika martabat bangsa mahu didarjatkan, usaha untuk memperkayakan generasi muda dengan ilmu wajib diberikan tumpuan, melalui persepakatan gerakan yang tersusun lagi strategik, diselaraskan dan digabungkan,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah, baginda memperkenankan lantikan dua anggota MAIPk daripada kalangan belia, serta memperkenankan lantikan wakil belia dalam Jawatankuasa Baitul Mal negeri dan daerah.

Titah baginda, ini kerana belia ialah aset utama dunia, menjana tenaga yang sangat dinamik yang perlu diempang secara produktif, agar menjana kuasa yang konstruktif untuk membangunkan masyarakat dan negara.

“Kerugian besar kepada negara jika tenaga yang sangat dinamik ini tidak diempang secara produktif untuk menjanakan tenaga yang konstruktif lagi dinamik.

“Alhamdulillah, wakil-wakil belia yang diberikan amanah telah membuktikan dinamisme penyertaan mereka dengan menyuarakan idea-idea baharu di luar kotak. Masjid mula diperkaya dengan kegiatan riadah, sukan, dan seni silat, juga program-program pendidikan serta ekonomi.

“Sewajibnya, masjid diperkaya dengan aktiviti-aktiviti yang berupaya menarik minat anak muda,” titah baginda. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya