KLANG: Sebanyak 5,520 barang kes bernilai RM.58 juta dilupuskan oleh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara melibatkan 402 kertas siasatan sepanjang 2021 hingga 2023 di Balai Polis Kapar, di sini, hari ini.
Barang rampasan melibatkan kes seperti perjudian, kontraban, pelaburan bitcoin dan barangan berharga lain terdiri daripada rokok, daun terup, pakaian, laptop, komputer, mesin lombong bitcoin, mesin judi serta minuman.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd. Khairi Shafie berkata, selain barangan tersebut, turut dilupuskan adalah wang tunai berjumlah RM66,904 yang dirampas sepanjang tempoh itu.
“Bagi barang kes mesin mining bitcoin, pelupusannya dibuat dengan cara menghancurkan mesin berkenaan secara manual sementara minuman keras atau cecari akan diasingkan dan dilupuskan secara pemeruapan dan botol atau tinnya pula dikitar semula.
“Manakala bagi barang kes rokok, kesemuanya akan dibakar di dalam kebuk pembakaran dan wang tunai pula diserahkan kepada perbendaharaan Malaysia,” katanya berucap pada Majlis Pelupusan Barangan Kes Bahagian SIasatan Jenayah IPD Klang Utara.
Jelasnya, selain wang tunai, proses pelupusan tersebut dilakukan oleh syarikat yang menerima pensijilan dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara bagi melakukan pelupusan aset-aset kerajaan selaras Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Mohd. Khairi ketika ditemui pemberita memaklumkan peningkatan jenayah indeks dekat kawasan di bawah pengawasan IPD Klang Utara iaitu sebanyak tujuh peratus atau 61 kes pada tahun lepas berbanding 2022.
Menurutnya, sebanyak 816 kes jenayah indeks direkodkan bagi tahun 2022 dan 877 pada 2023.
“Kes jenayah indeks meningkat dan paling banyak direkodkan adalah kes pecah rumah, samun dan curi kenderaan. Kebanyakannya melibatkan orang tempatan dan pesalah yang melakukan kesalahan berulang.
“Justeru, kita melancarkan Operasi (Op) Aman yang berjalan secara bersepadu dengan ibu pejabat Bukit Aman, Ibu pejabat Kontinjen Selangor (IPK) dan IPD Klang Selatan sejak 15 Januari lalu,” ujarnya.
Katanya lagi, jenayah turut berlaku dalam kalangan anggota dan pegawai polis namun tidak melibatkan jumlah yang besar dan kebanyakannya adalah kes pemerasan. – UTUSAN