Inspektor terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang masih dirawat, belum diambil keterangan - Utusan Malaysia

Inspektor terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang masih dirawat, belum diambil keterangan

KHAW KOK CHIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis belum merekodkan keterangan pegawai polis berpangkat Inspektor berhubung kes seorang wanita yang mendakwa ditolak lelaki terbabit dari Jambatan Pulau Pinang kelmarin.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pegawai polis berkenaan masih menerima rawatan di hospital kerana mengalami patah bahu sebelah kiri dan tidak dapat bergerak setakat ini.

”Kita masih belum merekodkan keterangan daripada pegawai polis ini kerana dia masih dirawat di hospital,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.45 malam kelmarin itu, tindakan pantas seorang lelaki yang terjun ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang berjaya menyelamatkan seorang lelaki dan seorang wanita yang terjatuh ke dalam laut dalam kejadian di Kilometer 2.8 menghala Perai.

Kedua-duanya dikatakan bertengkar di atas jambatan berkenaan sebelum terjatuh ke dalam laut.

Polis bagaimanapun membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu membabitkan kesalahan cubaan membunuh selepas mangsa wanita mendakwa dia ditolak rakan lelakinya.

Menurut Kok Chin, polis telah merekodkan keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

“Setakat ini polis telah merekodkan keterangan daripada wanita yang terjatuh ke dalam laut itu, anggota tentera yang menyelamatkan kedua-dua mangsa dan doktor yang merawat mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya