Inovasi ulam raja tingkat memori, daya ingatan - Utusan Malaysia

Inovasi ulam raja tingkat memori, daya ingatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjelang usia tua, ramai yang mula mengalami tanda-tanda kemerosotan kognitif atau daya ingatan.

Dalam bahasa ringkas, makin meningkat usia makin mudah untuk terlupa banyak perkara.

Menyedari perkara itu, Universiti Kebangsaan Malaysia melalui Fakulti Sains Kesihatan (FSK) membangunkan inovasi menggunakan ulam raja bagi membantu meningkatkan kembali kesihatan kognitif.

Inovasi yang dinamakan sebagai Mindlumina itu merupakan esen botani ulam raja yang ditambah perisa beri dan sitrus.

Dekan FSK, Prof. Dr. Suzana Shahar berkata, Mindlumina kaya dengan dengan polifenol dan antioksidan yang penting untuk kesihatan terutamanya kesihatan kognitif.

“Kajian klinikal mendapati ia berkesan dalam meningkatkan daya ingatan, fokus dan tumpuan, mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesejahteraan emosi.

“Golongan sasaran adalah warga emas, dewasa dan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas yang berisiko untuk mengalami tekanan atau gangguan kognitif atau daya ingatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kajian MindLumina bermula sejak akhir tahun 2019 sehingga pertengahan 2022, melalui dana penyelidikan fundamental biaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

KEBERKESANAN

Tambah Suzana, hasil daripada percubaan klinikal dalam kalangan warga emas yang mengalami kemerosotan kognitif ringan, keberkesanan suplemen adalah berbeza mengikut parameter kajian.

“Keberkesanannya dalam meningkatkan fungsi kognitif global adalah 6.7 peratus, tetapi sangat berkesan dalam meningkat memori atau daya ingatan serta tumpuan sebanyak 20 peratus ke 36 peratus,” jelasnya.

Tambahnya, inovasi yang dibangunkan sebagai supplemen dietari itu mudah diambil oleh individu sekaligus memudahkan orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

“Ia sejenis supplemen dietari yang mudah diambil oleh individu. Tidak semua orang berkesempatan atau boleh mengambil ulam raja secara semula jadi kerana kesuntukan waktu.

“Malah, masalah kesegaran ulam raja yang tidak tahan lama dalam simpangan dan rasa aslinya yang agak ‘minty’ yang mungkin tidak digemari oleh sesetengah individu,” katanya lanjut.

Mengulas mengenai pembangunan inovasi itu, kata Suzana, kajian awal melibatkan pasukan penyelidik meneliti khasiat ulam tempatan yang berpotensi dimanfaatkan untuk kesihatan kognitif.

“Didapati ulam raja antara yang tinggi zat yang bagus untuk fungsi kognitif, dan seterusnya diformulasikan dalam bentuk serbuk bagi tujuan percubaan klinikal.

“Kejayaan percubaan klinikal ini berjaya difailkan sebagai paten dan seterusnya dikomersialkan sebagai esen botani yang mudah diambil oleh pelbagai golongan,” ujarnya.

Hasil inovasi ini mendapat Pingat Emas bagi kategori ‘Perubatan dan Penjagaan Kesihatan’ semasa PECIPTA 2022, International Conference and Exposition on Inventions by Institutions of Higher Learning.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya