IPOH: Seramai 95 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan di 25 buah premis di sekitar Ipoh dan Gopeng, semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, Sharmanrizal Rustam berkata, tangkapan tersebut membabitkan 51 orang lelaki dan 42 orang wanita termasuk dua orang kanak-kanak.
Katanya, kesemua yang ditangkap terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Pakistan, Kemboja, Laos, Filipina, Thailand dan Mesir.
“Operasi bermula pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam itu dijalankan oleh 20 pegawai di mana pemeriksaan dibuat ke atas 119 individu dengan 95 daripadanya ditahan untuk siasatan.
“Dalam serbuan itu, pemeriksaan dilakukan di tujuh kedai, tujuh premis makanan, sebuah pusat cuci kereta, pusat hiburan, pusat rekreasi dan lapan lot penjaja swasta,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di dalam negara ini.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) kerana telah tinggal lebih masa dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan,” katanya.
Tambah Sharmanrizal, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan atau individu yang menggaji serta melindungi PATI termasuk pendakwaan di mahkamah. – UTUSAN