GEORGE TOWN : Kerja-kerja mengapit semula saluran paip bawah air di Sungai Perai tidak dapat diselesaikan mengikut jadual asal berikutan hujan lebat dan arus bawah air yang deras.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, pada pukul 2 pagi tadi, pasukan baharu iaitu melibatkan 10 penyelam mengambil alih daripada pasukan asal.
”Berlaku kelewatan dalam pelan A kerana hujan lebat dan arus bawah air yang deras, jadi penyelam tidak dapat menyelesaikan kerja seperti yang dijadualkan.
“Penyelam gantian sedang berusaha untuk menyelesaikan kerja-kerja pengapit bawah air secepat mungkin,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, PBAPP sedang melaksanakan dua pelan tindakan respons kecemasan secara serentak iaitu melibatkan plan A iaitu melaksanakan kerja-kerja mengapit semula saluran paip 1,350mm.
Kon Yeow berkata, pelan B pula melibatkan kerja pembinaan dua saluran paip gantian 600mm baharu merentasi Sungai Perai untuk menggantikan bahagian saluran paip 1,350mm di dasar Sungai Perai yang bocor.
Menurut PBAPP, pihaknya telah mengaktifkan pelan bekalan air tambahan sejak pukul 12 tengah hari semalam melibatkan penyaluran air semula kepada sebahagian pengguna.
”PBAPP telah mengaktifkan pelan bekalan tambahan untuk membekalkan air kepada kira- kira 15,000 hingga 20,000 daripada 120,000 pengguna yang terjejas akibat kejadian di Sungai Perai pada 23 Januari lalu.
”Air terawat adalah dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di mana terdapat dua saluran paip 1,350mm yang menyalurkan air dari LRA Sungai Dua ke Pulau Pinang.
”PBAPP sedang mengepam lebih banyak air pada tekanan tinggi melalui saluran paip kedua (tiada kerosakan) ke Kompleks Bukit Dumbar di bahagian pulau,” katanya.
Tambahnya, dari Bukit Dumbar, air sedang dipam semula kepada seramai mungkin pengguna terjejas di kawasan dari Gelugor ke selatan di Bayan Lepas namun pada masa ini, PBAPP tidak dapat menyediakan senarai kawasan yang tepat.
”Tekanan air adalah rendah dan bekalan terputus-putus, namun, sekurang-kurangnya sejumlah pengguna terjejas akan menerima sedikit air,” katanya.
Sementara itu, PBAPP memaklumkan pelan B iaitu kerja-kerja untuk persediaan pengoperasian dua saluran paip 600mm baharu yang merentasi Sungai Perai untuk menggantikan saluran paip bawah permukaan air berjalan lebih awal daripada jadual, hasil kerja pantas oleh kontraktor.
”PBAPP sedang mengusahakan rancangan yang berpotensi untuk melaksanakan kerja- kerja pelencongan bagi menyambungkan dua saluran paip 600mm baharu pada Ahad ini (28 Januari), dan bukannya hari Isnin (29 Januari) seperti yang dijadualkan pada asalnya.
”PBAPP akan memberikan lebih banyak kemas kini tentang pelan A dan pelan B tidak lama lagi, selepas fakta dan angka disemak, disahkan dan disahkan semula,” katanya. – UTUSAN