PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia melalui HRD Corp melancarkan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 bermula 24 hingga 30 Jun ini, yang menyediakan latihan dan aktiviti kepada organisasi, individu serta industri pelbagai latar belakang di ibu negara, semalam.
Kementerian itu dalam kenyataan berkata, minggu tersebut menumpukan kepada latihan menanam budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia, melalui peluang pembangunan kemahiran dan pengetahuan secara percuma.
Katanya, NTW merupakan kesinambungan kepada NTW 2023 yang menerima sambutan menggalakkan pada Mei tahun lalu, ketika ia pertama kali dilancar.
“Kementerian dan HRD Corp sekali lagi mengambil tanggungjawab menggerakkan pentas pembangunan modal insan tempatan meneraju NTW 2024.
“Dengan mengekalkan matlamat sama untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia, NTW 2024 menetapkan sasaran lebih besar dengan 150,000 pendaftaran di seluruh negara dengan tumpuan kepada program latihan percuma dalam lima teras.
“Antaranya kemahiran hidup, kemahiran masa depan, kreativiti dan inovasi, kewangan dan pembangunan mampan. Teras ini dipilih berdasarkan keperluan bakat dan industri Malaysia,” katanya.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan mahu Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) yang belum berdaftar untuk mendapatkan manfaat menerusi program tersebut.
“Setiap tahun, HRD Corp memberi manfaat kepada 82,000 PKS daripada 1.2 juta PKS di Malaysia. NTW yang diadakan pada tahun lalu melatih lebih 129,000 rakyat Malaysia menerusi pelbagai kursus latihan dengan rekod jam latihan lebih 503,000 jam.
“Saya menyasarkan kali ini, ia akan mencapai sekurang-kurangnya 150,000 pendaftaran sepanjang minggu selain memberi tumpuan kepada kualiti latihan disediakan dan menetapkan standard emas untuk industri latihan,” katanya.
Untuk rekod, NTW 2023 menyaksikan hampir semua sasaran awal pelaksanaan berjaya menyediakan lebih dari 21,000 kursus latihan percuma kepada lebih daripada 129,000 rakyat Malaysia di samping mencatatkan lebih daripada 503,000 jam latihan.
Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood berharap, supaya pemegang taruh terlibat terus bekerjasama bagi memastikan program tersebut memberi impak lebih tinggi untuk rakyat negara ini,
“Ketika HRD Corp memperkenal NTW tahun lalu, organisasi ini memiliki satu tujuan utama; untuk memberi akses kepada peluang pembelajaran dan pembangunan percuma tanpa memandang latar belakang, usia, kemahiran, pengalaman atau pengetahuan mereka.
“Saya bangga menyatakan, keberhasilan inisiatif ini dapat dicapai dengan sokongan, komitmen dan dedikasi daripada semua pihak iaitu kementerian, agensi kerajaan, institusi pendidikan, organisasi masyarakat, majikan berdaftar, pelatih, penyedia pelatih dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN