Hos ‘makan dalam’ jika kena kutuk depan umum- Awal Ashaari - Utusan Malaysia

Hos ‘makan dalam’ jika kena kutuk depan umum- Awal Ashaari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU kecam badan (body shaming) yang terkait dengan dunia pengacaraan hari ini sering menjadi topik yang rancak dibahaskan umum.

Mana tidaknya, semakin ramai pelawak yang menjadi pengacara menyelitkan unsur ini sebagai wadah jenaka untuk menghiburkan penonton.

Pengacara berpengalaman, Awal Ashaari tidak menafikan tindakan sedemikian boleh mengundang padah.

Kata Awal, tindakan memalukan rakan penyampai atau penonton tidak sepatutnya dilakukan lebih-lebih lagi dalam program televisyen atau media sosial yang ditonton masyarakat.

“Ada ketika, pengacara berkenaan sengaja memalukan dengan mempersendakan bentuk fizikal atau kekurangan rakan penyampainya sebagai wadah hiburan.

“Contoh, kutuk rakan penyampai yang mulutnya berbau busuk di hadapan ribuan penonton yang menonton rancangan tersebut. Perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih dalam rancangan yang disiarkan secara langsung di televisyen.

“Mungkin pada pengacara berkenaan tindakan itu hanyalah lawak jenaka, tetapi hakikatnya ia memberi implikasi buruk kepada rakan penyampainya.

“Jadi pada pandangan saya, setiap pengacara, termasuk pelawak sekalipun tidak seharusnya mempermainkan atau mempersendakan fizikal atau kekurangan rakan penyampai mereka. Tindakan itu sebenarnya ‘makan dalam’,” kata Awal yang ditemui ketika sidang media Bintang RTM 2024.

Kongsi Awal lagi, pengacara tidak seharusnya berkompromi dengan profesionalisme mereka ketika menjalan tugas pengacaraan.

Jika tidak katanya, tindakan itu, lambat laun akan menjatuhkan reputasi pengacara berkenaan selain mencemarkan bidang kerja tersebut.

“Tugas pengacara bukan sekadar terpacak depan kamera. Disebaliknya, tanggungjawab mereka terlalu besar. Sebab itu saya katakan, bidang pengacaraan menuntut tahap profesionalisme yang tinggi.

“Nak bercakap depan kamera pun perlu tapisan. Kena tahu penggunaan ayat atau perkataan yang benar-benar sesuai. Perlu kajian dan kefahaman yang mendalam tentang apa yang boleh dan tak boleh diungkapkan depan audiens.

“Tapi sekarang berbeza. Perkara yang tak sepatutnya disampaikan pengacara depan umum, disampaikan. Ditambah pula dengan keadaan sekarang dimana sesiapa sahaja boleh menjadi pengacara. Program televisyen pula semakin meriah sekarang. Mungkin inilah cabaran dunia penyiaran masa sekarang,” kongsinya.

BINTANG RTM

Peluang mengendalikan rancangan Bintang RTM merupakan satu penghormatan buat Awal yang sudah 20 tahun berkecimpung dalam dunia pengacaraan.

Bintang RTM di mata Awal terlalu istimewa dan sentimental buat dirinya yang ketika zaman kanak-kanak dan remajanya selalu terpacak depan televisyen untuk menonton rancangan tersebut.

“Ini adalah antara bucket list saya, alhamdulillah akhirnya hasrat untuk mengendalikan Bintang RTM, tercapai.

“Pada saya Bintang RTM adalah jenama yang sangat besar dan melahirkan ramai penyanyi power house di Malaysia.

“Pada masa yang sama, rancangan ini mengimbau kembali zaman kanak-kanak saya yang selalu mengikuti program ini dahulu,” ujarnya.

Kongsi Awal, dia senang bekerja sama dengan tenaga kerja dan kru penerbitan Bintang RTM yang banyak memudahkan tugasnya.

“Saya akan elakkan mana-mana program atau rancangan yang tak sesuai dengan gaya pengacaraan saya.

“Tapi tidak kepada Bintang RTM. Pihak produksinya memberi kebebasan untuk saya menjadi diri sendiri, kendalikan rancangan ini dengan gaya sendiri,” tambahnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya