Hendak pegang SD lama-lama untuk apa, buat pekasam?

Hendak pegang SD lama-lama untuk apa, buat pekasam?

SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai akuan bersumpah (SD) yang cukup untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan hanya satu permainan minda.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, dakwaan itu juga dilihat hanya untuk mewujudkan rasa sangsi dalam kalangan ahli Parlimen.

“Kalau betul SD sudah cukup, kalau betul sokongan sudah ramai, saya cabar Sanusi untuk lakukan gerakan beliau sekarang, jatuhkan kerajaan sekarang. Kenapa hendak tunggu lama-lama? Hendak pegang SD lama-lama untuk apa, buat pekasam?

“Saya yakin tiada satu pun ahli Parlimen yang akan terpedaya dengan permainan minda oleh Sanusi. Malah, apa yang berlaku sekarang jauh berbeza daripada apa yang diperkatakan oleh beliau,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shaiful Hazizy mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu semalam yang mendakwa gabungan itu sudah mempunyai SD yang cukup untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut kata Shaiful Hazizy, Muhammad Sanusi perlu menghentikan cerita dongeng dan palsu bahawa kononnya PN sudah mempunyai SD untuk menjatuhkan kerajaan ketika ini.

“Sanusi sudah boleh kita ibaratkan pengembala kambing yang menipu orang kampung mengenai serigala datang memakan kambingnya, sekali dua orang percaya, kali ketiga orang sudah tidak percaya. Sama juga macam kes Sanusi, sudah terlampau banyak kali menipu, rakyat pun sudah naik muak.

“Ini kerana cerita mengenai PN mahu tukar kerajaan sudah acap kali dihebahkan. Seolah-olah sudah menjadi perkara dan aktiviti wajib setiap bulan. Mungkin kali pertama orang percaya, tetapi kalau sudah kata SD cukup sejak Ogos tahun lepas namun tiada apa jadi, siapa hendak percaya lagi,” jelasnya.

Tambahnya, kenyataan Muhammad Sanusi itu juga dilihat tidak selari dengan kenyataan pemimpin PN lain yang menafikan tentang kewujudan ‘Langkah Dubai’ itu sendiri.

 “Rancanglah baik-baik dengan rakan sekerja. Ini tidak, pejabat Ketua Pembangkang sudah menafikan Langkah Dubai. Tetapi Sanusi kata langkah itu sudah berjaya dan dengan penuh berani mengeluarkan kenyataan ‘sudah cukup SD, tinggal tunggu hari’.

Walhal, menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang ada tujuh atau lapan ahli Parlimen pembangkang yang akan menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya