Hasil siasatan kebakaran rumah Ahli Parlimen Beruas diketahui minggu ini - Utusan Malaysia

Hasil siasatan kebakaran rumah Ahli Parlimen Beruas diketahui minggu ini

SAYANI Saidon (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci kenderaan penyiasatan kebakaran (FFV) model Weststar Maxus kepada Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Wan Nazlis Wan Ismail pada Majlis Amanat Pengarah JBPM Perak di Ibu Pejabat JBPM Perak di Bandar Meru Raya, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Hasil siasatan kes kebakaran di garaj kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya di Ayer Tawar Rabu lalu, dijangka diperoleh minggu ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, keputusan itu akan diketahui selepas siasatan selesai dijalankan ke atas dua bahan bukti yang ditemui di lokasi kebakaran iaitu bahan letupan dipercayai ‘molotov cocktail’.

Katanya, hasil siasatan tersebut akan menentukan sama ada bahan letupan berkenaan mengandungi bahan bakar seperti minyak tanah dan petrol atau cecair lain.

“Setakat ini, kita masih menunggu keputusan makmal di Kuala Lumpur bagi menentukan isi kandungan dalam bahan bukti yang kita temui di lokasi kejadian.

“Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), keputusan itu akan diketahui dalam tempoh 10 hari. Saya jangka kita akan dapat keputusannya pada minggu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Pengarah JBPM Perak di Ibu Pejabat JBPM Perak di Bandar Meru Raya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan yang dijalankan bomba itu adalah bagi mengenal pasti punca kejadian sama ada disebabkan oleh kebakaran atau perbuatan khianat.

“Sekiranya keputusan yang diperoleh daripada makmal menyatakan ada unsur khianat, kita akan maklumkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sebelum ini, Sayani dilaporkan berkata, pihaknya telah melaksanakan proses forensik kebakaran di lokasi kejadian, dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dan mengambil 11 sampel untuk tujuan analisis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi Rabu lalu, sebuah kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.

Turut terbakar dalam kejadian itu ialah siling dan bumbung garaj kediaman milik ahli Parlimen daripada DAP itu.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, sebanyak 76 kompaun berjumlah RM7,600 dilaksanakan di peringkat balai, zon dan ibu pejabat sepanjang tahun lalu.

Ujar beliau, daripada faktor penyiasatan kebakaran, sebanyak 973 kes dibuat siasatan di mana sebanyak 672 kes kebakaran struktur manakala 301 kes melibatkan kebakaran kenderaan.

“Selain itu, sebanyak 67 pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 10, Seksyen 26 dan Seksyen 33 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 termasuk dikenakan denda tambahan RM100 sehari bagi premis yang masih lagi tidak mematuhi Notis Menghapus Bahaya Kebakaran.

“Keseluruhan kutipan denda kumulatif yang berjaya dikumpul oleh cawangan pendakwaan adalah sebanyak RM114,600,” katanya.

Tambah beliau, JBPM Perak juga telah merekodkan sebanyak 9,309 panggilan kecemasan sepanjang tahun lalu di mana 2,141 kes melibatkan kebakaran manakala kes penyelamatan (7,168) dan tugas khas (148). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya