PEMERGIAN bekas anggota kumpulan Inteam, arwah Suhaimi Saad bertemu pencipta pada November tahun lepas meninggalkan kesan kepada keluarga, sahabat dan peminat.
Antara yang paling terkesan adalah sahabat baik arwah, anggota Inteam yang tentunya menyimpan terlalu banyak kenangan bersama Allahyarham sepanjang hayatnya.
Inteam baru-baru ini tampil dengan sebuah single, Harum Setangkai Doa yang dedikasikan untuk arwah.
Lagu tersebut adalah hasil ciptaan Frizdan Fizarahman serta lirik oleh Ito Lara.
Ketua Inteam, Mohd. Syahril Abdul Khalid, 43, mengakui masih terkesan dengan pemergian arwah yang berlaku terlalu cepat.
“Pemergian arwah boleh dikatakan berlaku mengejut, beliau hanya sakit dalam tempoh lebih kurang tiga bulan.
“Kami sempat menziarahi arwah di Johor beberapa minggu sebelum beliau pergi menghadap Ilahi,” katanya.
Suhaimi menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.40 malam di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor.
Abdul Rahim Osman atau dikenali sebagai Rahim Inteam pula memaklumkan dia bersyukur kerana sempat memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah Allahyarham dikebumikan di Kota Tinggi, Johor.
“Walaupun sedih, kami reda dengan pemergian sahabat kami dan bersyukur kerana selepas kematian beliau, banyak cerita dan pesanan kebaikan yang arwah tinggalkan disebarkan masyarakat. Semoga ia menjadi pahala jariah buat arwah.
“Kami juga sebak dan terharu kerana diberi keizinan oleh keluarga arwah untuk memandikan dan menguruskan jenazahnya sehingga selesai proses pengebumian,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi anggota Inteam, Muhammad Hazamin Harun memaklumkan sempat menghadiahkan Suhaimi umrah badal ketika kunjungannya ke Tanah Suci semasa arwah meninggal dunia.
“Saya menerima berita kematian arwah sewaktu saya dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah menaiki keretapi.
“Air mata saya mengalir pada saat mengenangkan kenangan bersama arwah.
“Alhamdulillah, saya sempat melaksanakan umrah badal untuk dihadiahkan kepada beliau,” jelasnya.
Dedikasi untuk arwah
Lagu Harum Setangkai Doa adalah dedikasi teristimewa daripada Inteam buat arwah Suhaimi yang sepanjang persahabatan mereka banyak berkongsi susah payah kehidupan.
Single ciptaan Frizdan Fizarahman dan lirik oleh Ito Lara itu mula diperdengarkan kepada umum sejak 5 Januari lalu.
Ia menerima respons positif peminat dengan jumlah tontonan memberangsangkan iaitu sebanyak 63,734 di Youtube.
Menurut Rahim di Instagramnya, lagu istimewa itu menjadi bingkisan dan tanda persahabatan bersama arwah.
“Sebuah bingkisan khas buat sahabat kami, Allahyarham Suhaimi Saad yang telah pergi menemui pencipta.
“Sebuah lagu yang sekian lama digubah Frizdan dan liriknya oleh Ito rupanya menanti saat yang telah dijadualkan untuk terbit sejak azali.
“Dengar dan doakan agar rohnya dicucuri rahmat, amin,” tulisnya.
Lagu tersebut boleh diperdengarkan menerusi semua platform digital termasuk Spotify, Deezer, KKBox, Joox dan Apple Music.