Harimau belang berkeliaran mungkin cari makan - penduduk - Utusan Malaysia

Harimau belang berkeliaran mungkin cari makan – penduduk

HARIMAU belang yang dijumpai berkeliaran di Kampung Kuala Kenering di Lenggong semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Harimau belang yang dijumpai berkeliaran di kawasan Kampung Kuala Kenering dekat sini semalam, tidak bertindak agresif walaupun kelihatan kelaparan.

Seorang penduduk, Mohammad Jalil Md Rodzi, 32, berkata, harimau itu juga tidak berganjak dari kedudukannya meskipun disuluh lampu kenderaan pada jarak dekat.

“Harimau itu mungkin sedang mencari makanan sebab di kawasan sekitar ada longgokan sampah. Saya rasa haiwan itu lapar, malah saiznya juga kurus macam tidak cukup makan.

“Haiwan itu tidak menyerang sebaliknya hanya berjalan mundar-mandir tanpa hiraukan lampu kenderaan. Selepas kira-kira empat minit barulah harimau itu beredar masuk ke kawasan kebun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohammad Jalil, kejadian pada pukul 8.30 malam itu berlaku ketika dia bersama isteri serta dua anak mereka dalam perjalanan untuk ke kedai makan berhampiran.

Katanya, kelibat harimau itu kemudian disedari isterinya selepas melihat ke arah suluhan lampu kenderaan lain yang berada di lokasi berkenaan.

“Ketika itu, kereta saya telah terlajak ke hadapan, bagi memastikan apa yang dilihat isteri adalah harimau, saya segera berpatah balik dan parkir kereta di sebelah kenderaan tersebut.

“Selepas diamati, memang betul ada harimau. Terkejut juga nampak depan mata sebab siang tadi (semalam) dah kecoh dalam ‘whatsApp’, seekor anjing diserang harimau.

“Takut juga kami apabila lihat harimau itu dari jarak dekat, tapi mujurlah kami di dalam kereta, kalau saya naik motosikal, memang saya tidak akan datang dekat untuk lihat,” ujarnya.

Tambahnya, kelibat harimau di kawasan itu bukanlah kali pertama, kerana sebelum ini rakannya juga pernah melihat haiwan pemangsa itu namun tidak sempat mengambil gambar sebagai bukti.

“Bulan lepas kawan saya ada juga nampak kelibat harimau di kawasan berhampiran. Dia ada lapor kepada pihak Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara), tapi kami tidak tahu apa perkembangannya.

“Jadi, bila jumpa lagi kali ini, penduduk berasa bimbang dengan keselamatan sebab harimau ini hanya berkeliaran di kawasan sekitar. Kami bimbang berlaku kejadian tidak diingini jika harimau itu masih belum ditangkap,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusuff Shariff ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan berkaitan kemunculan harimau belang itu semalam.

Menurut beliau, kakitangan Perhilitan telah dihantar ke lokasi kejadian untuk melakukan tinjauan sekali gus menyiasat aduan tersebut.

“Memang sebelum ini kita pernah terima aduan kehadiran harimau di kawasan itu pada 3 Disember lalu, namun daripada siasatan yang dijalankan kita mendapati aduan tersebut tidak berasas berikutan tiada kesan ditemui.

“Jadi, apabila terima aduan malam tadi, kita pergi siasat dan mendapati ia adalah benar. Sebagai langkah awal, kita buat tembakan ke udara dan bakar mercun supaya harimau itu kembali ke habitat asalnya.

“Lokasi penemuan haiwan liar berkenaan sebenarnya tidak jauh dari Hutan Simpan Papulut,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga mengambil inisiatif lain dengan memasang perangkap di kawasan berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya