BATU PAHAT: Keluarga Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella berharap rangka manusia tidak sempurna yang ditemui di Kampung Batu 7 di Tongkang Pecah dekat sini bukan milik ibu tunggal itu selepas dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu.
Kakaknya, Norisham, 36, berkata, ketika dimaklumkan tentang penemuan rangka manusia itu petang tadi, gerak hatinya tetap mengatakan itu bukan Bella seperti yang ditularkan.
Katanya, jika rangka manusia itu adalah adiknya, mereka sekeluarga tetap reda dengan ketentuan Ilahi, namun mengharapkan hukuman setimpal kepada siapa sahaja yang melakukannya.
“Setakat ini, kami belum dimaklumkan tentang keputusan penemuan rangka manusia ini, bagaimanapun ujian asid deoksiribonukleik (DNA) saya dan ibu sudah diambil untuk simpanan pihak polis kira-kira dua minggu lepas.
“Saya amat berharap rangka manusia itu bukan Bella,” katanya ketika ditemui di tapak lokasi penemuan hari ini.
Menurut Norisham lagi, diharapkan keputusan DNA dapat diketahui dalam kadar segera bagi menamatkan penantian ini. – UTUSAN