Guru wanita ditemukan mati dalam rumah sewa - Utusan Malaysia

Guru wanita ditemukan mati dalam rumah sewa

MOHD. Asyraf Bakri menunjukkan tempat mayat guru wanita yang ditemukan mati dalam rumah sewanya di Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang guru wanita berusia 50-an ditemukan meninggal dunia di dalam rumah sewanya di Kampung Pengadang Baru, di sini, petang semalam.

Kejadian itu disedari pemilik rumah tersebut, Mohd. Asyraf Bakri, 30, yang ketika itu datang untuk meminta duit sewa bulanan selepas cubaan menghubungi mangsa sejak lebih seminggu lalu, gagal.

Menurut Mohd. Asyraf, mangsa bekerja sebagai guru di sebuah sekolah menengah dan telah menyewa di rumah berkenaan seorang diri sejak 13 tahun.

Katanya, dia bersama ibunya pergi ke rumah mangsa namun mereka mula rasa tidak sedap hati setelah tiada sahutan dari dalam rumah sebelum cuba membuka tingkap.

“Setibanya di luar rumah memang terhidu bau kurang menyenangkan dan kami cuba mengintai melalui tingkap di sekeliling rumah namun tidak menjumpai apa-apa.

“Ketika saya membuka tingkap salah sebuah bilik, bau busuk yang sangat kuat menerpa dan saya hanya terbayang mangsa mungkin meninggal kerana terjatuh di bilik air.

“Kami menghubungi polis yang datang dan sebaik masuk ke dalam rumah, saya ternampak sekujur tubuh dalam keadaan berbaring seperti tidur di tepi dinding.

“Mangsa kurang bergaul dengan jiran malah pergerakannya juga banyak dengan kereta sewa, jadi ramai tidak perasan arwah tidak keluar rumah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan kira-kira pukul 5.45 petang.

“Sebaik tiba ke lokasi kejadian, kami menemukan mayat seorang wanita di dalam rumah yang dipercayai sudah beberapa hari meninggal dunia.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya