KUALA LUMPUR: Great Eastern Takaful Berhad (GETB) optimis dengan prospek pertumbuhan pelanggan atau pemegang sijil pada tahun ini dengan mengambil kira keadaan pasaran yang mencabar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Azlan Shahriman berkata, syarikat yang kini mempunyai lebih 1.8 juta pemegang sijil perlindungan takaful itu menyaksikan pertumbuhan dan kesedaran yang tinggi dalam kepentingan perlindungan terutamanya selepas pandemik Covid-19.
Katanya, penembusan takaful yang hanya sekitar 20 peratus ketika ini memberikan lebih peluang serta ruang untuk pertumbuhan dalam pasaran.
“Oleh itu, kami sangat optimis walaupun harus berdepan dengan cabaran dan situasi sosioekonomi semasa. Saya melihat banyak peluang dalam kalangan mereka yang masih belum mempunyai pelan perlindungan.
“Bagi saya, pertumbuhan adalah bukan dari segi unjuran peratusan sahaja tetapi lebih kepada berapa banyak lagi individu yang kami telah capai untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan perlindungan takaful ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Menara Great Eastern, Jalan Ampang di sini baru-baru ini.
Shahrul Azlan berkata, antara usaha yang dilakukan GETB bagi menarik lebih banyak pelanggan adalah dengan menjadikan perlindungan tafakul lebih mampu milik supaya dapat dimanfaat oleh semua golongan termasuk B40.
Menurutnya, untuk 2024, pihaknya akan lebih aktif dan fokus dalam memberi kesedaran serta literasi atau celik kewangan kepada B40 dan seterusnya menawarkan produk yang mampu mereka miliki.
Jelasnya, GETB menyediakan produk mampu milik seperti mikroSayang yang mampu dimiliki pada bayaran serendah RM4.20 sebulan dalam usaha memastikan lebih ramai rakyat terutama golongan bumiputera mempunyai perlindungan takaful.
Tambahnya, antara usaha yang dilakukan GETB bagi meningkatkan kesedaran ini adalah dengan menganjurkan siri jelajah termasuk kawasan luar bandar terutamanya kampung-kampung bagi memberi penerangan tentang takaful.
“Mereka yang tinggal di luar bandar sebenarnya mampu untuk memiliki perlindungan kesihatan ini tetapi mereka kurang faham tentang takaful dan kepentingannya.
“Ini disebabkan tiada pihak yang pergi memberi penerangan kepada mereka tentang pengurusan kewangan seperti keperluan untuk mengasingkan sedikit wang mereka untuk mendapatkan perlindungan takaful yang boleh membantu mereka jika berlaku kecemasan,” ujarnya.
Beliau juga berkongsi pengalaman menyampaikan cek bernilai ratusan ribu kepada ahli keluarga seorang pemandu lori yang mengambil perlindungan takaful keluarga/hibah, setelah individu tersebut meninggal dunia.
“Individu ini hanya berpendapatan sekitar RM2,000 sebulan namun beliau tetap memperuntukkan RM100 sebulan untuk takaful.
“Ibu kepada individu ini sangat terharu apabila saya menyampai cek tersebut mengenangkan janji anaknya untuk menjaganya sampai bila-bila. Dengan pampasan tersebut, kelangsungan hidupnya dapat diteruskan walaupun anaknya sudah tiada,” ujarnya.
Dalam pada itu, syarikat yang menawarkan produk untuk setiap golongan masyarakat merangkumi ketiga-tiga segmen iaitu B40, M40 dan T20 juga memanfaatkan pendigitalan bagi memudahkan pelbagai urusan dan mencapai lebih ramai pelanggan.
“Tahun ini, kami melancarkan satu kempen baharu iaitu #SinarNova dengan menawarkan tiga kali ganjaran kepada pelanggan baharu yang memiliki sijil berkuatkuasa pada atau sebelum 14 Februari 2024. Permohonan yang diterima adalah sepanjang 5 hingga 31 Januari 2024.
“Kempen ini adalah untuk mempromosi produk komprehensif kami, i-Great Nova dengan tiga ganjaran menarik iaitu jumlah perlindungan asas minimum bermula daripada RM150,000, kempen ‘cashback’ sehingga tiga bulan caruman dan cabutan rezeki pakej umrah dan wang tunai sebanyak RM2,024,” ujarnya.
Beliau berkata, GETB yang mempunyai lebih 10,000 perunding takaful di seluruh negara banyak berkongsi maklumat dan pengalaman mereka sendiri yang menyentuh hati berkaitan perlindungan takaful termasuk hibah secara terus atau menerusi media sosial masing-masing.
“Saya berpendapat, penyebaran maklumat secara digital seperti TikTok dan Facebook adalah media yang penting untuk meningkatkan kesedaran dan memberi informasi yang telus mengenai perlindungan takaful,” ujarnya.
Selain usaha menjangkau lebih banyak pelanggan, beliau berkata, GETB juga tidak melupakan aktiviti perlindungan alam sekitar di bawah inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT).
“Kami juga membeli mesin guna dan hasil semula (upcycling) 2-dalam-1 dalam usaha meningkatkan kesedaran orang awam terhadap isu pencemaran plastik yang membimbangkan.
“Kesemua 330 kakitangan kami turut turun padang ke pantai, sungai dan jalanan untuk mengumpulkan sisa plastik dan kemudian plastik tersebut diproses menjadi pelbagai barangan baharu seperti sikat, pembaris, klip beg dan tempat letak sabun.
“Sehingga kini, kami telah memberi kesedaran alam sekitar kepada lebih 3,500 individu terdiri daripada para pelajar sekolah, mahasiswa, syarikat korporat dan orang awam. Malah, kami kini menghasilkan hadiah korporat sendiri melalui mesin upcycling dengan menggunakan plastik yang telah dikitar semula ini,” ujarnya. – UTUSAN