KUALA LUMPUR: Bekas juara Melbourne City Wrestling (MCW) Intercommonwealth, Emman Azman atau Golden Boy dari Malaysia Pro Wrestling akan memulakan tirai perlawanan 2024 dengan menentang ahli gusti Australia dari New Japan Pro Wrestling, Robbie Eagles di Renegades of Wrestling, Melbourne, Australia, 25 Januari ini.
Ini merupakan pertemuan kelima, di mana tiga pertemuan satu lawan satu sebelum ini menyaksikan kemenangan berpihak kepada Robbie, manakala sekali kemenangan buat Emman tetapi dalam perlawanan berkumpulan.
“Untuk menghadapi saingan pembukaan gusti musim ini, saya giat berlatih untuk meningkatkan stamina di gelanggang perlawanan sebenar nanti.
“Saya berharap dapat mengalahkan Robbie kali ini dan berharap rakyat akan menyokong saya dalam perjalanan gusti ini. Tahun ini saya ingin lebih berjaya dan melawan ahli gusti pro di luar negara dan mengharumkan nama Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Emman, yang terkenal dengan gelaran Golden Tiger, mengharapkan sokongan dan doa rakyat Malaysia untuk dirinya menang dalam perlawanan itu nanti.
Emman merupakan antara empat pelajar pertama di MYPW ketika memulakan karirenya pada 2014, ketika berusia 13 tahun. Kini, terdapat lebih 20 pelajar di MYPW.
Sebelum ini juga, dia telah Juara Melbourne City Wrestling (MCW) Intercommonwealth menewaskan Mick Moretti dan Adam Brooks.
Selain itu, Emman juga telah menewaskan ahli gusti dari Singapura, Endboss Gregory dan menamatkan perlawanan itu dengan teknik tersendiri iaitu KL Gold Running Elbow. – UTUSAN