KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan kumpulan ‘Ah Hoe Hilux’ didalangi dua lelaki warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes mencuri kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di sekitar Lembah Klang dalam dua siri tangkapan hujung bulan lalu.
Suspek yang berusia antara 32 tahun hingga 40 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Subang Jaya dan Ampang pada 27 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki di sebuah restoran di Subang Jaya diikuti tangkapan kedua di sebuah rumah di Ampang, dekat sini.
“Sindiket didalangi dua lelaki tempatan yang diketuai oleh suspek dikenali dengan nama panggilan Ah Hoe menyasarkan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Suspek didakwa mencuri kereta setelah menerima pesanan dari seorang lelaki tempatan yang tinggal di Thailand dan kemudian meninggalkannya di kawasan perumahan sebelum dibawa ke Thailand,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ahmad Sukarno berkata, kes kecurian kenderaan pacuan empat roda itu melibatkan seorang pemilik lelaki warga tempatan di sebuah rumah di sekitar Jinjang di sini, pada 4 Oktober tahun lalu.
“Kedua-dua suspek ditahan reman bermula 27 Disember lalu dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, polis memberkas seorang lelaki tempatan yang mencuri barangan dalam sebuah kenderaan pada 30 Disember lalu.
Katanya, suspek berusia 36 tahun yang bekerja sebagai tukang masak ditahan bersama barang curi pada pukul 4.15 pagi dan hasil siasatan mendapati dia mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau dan dikenal pasti sekurang-kurangnya enam kes yang telah diakuinya.
“Semakan rekod mendapati kesemua kes kecurian dilakukannya berlaku di kawasan sekitar Sentul. Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula 30 Disember lalu sehingga kini dan siasatan masih diteruskan,” katanya. – UTUSAN