Gempa bumi Jepun: korban cecah 62 orang, penyelamat tungkus

Gempa bumi Jepun: korban cecah 62 orang, penyelamat tungkus lumus cari mangsa

ANGGOTA bomba menjalankan operasi menyelamat di bandar Wajima, wilayah Ishikawa selepas gempa bumi berukuran 7.5 magnitud melanda wilayah Noto di wilayah Ishikawa pada Hari Tahun Baru 2024. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WAJIMA: Penyelamat Jepun bertungkus-lumus mencari mangsa yang terselamat ketika pihak berkuasa memberi amaran tentang tanah runtuh dan hujan lebat selepas gempa bumi kuat mengorbankan sekurang-kurangnya 62 orang.

Gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter pada 1 Januari lalu yang menggegarkan wilayah Ishikawa di pulau utama Honshu mencetuskan gelombang tsunami setinggi lebih satu meter selain mencetuskan kebakaran besar dan memusnahkan jalan raya.

Kerajaan wilayah Ishikawa mengumumkan hari ini, seramai 62 orang disahkan mati dan lebih 300 cedera, 20 daripadanya parah.

Jumlah korban dijangka meningkat ketika penyelamat bergelut dengan gegaran susulan dan cuaca buruk untuk menyisir runtuhan.

Lebih 31,800 orang berada di tempat perlindungan, kata pihak kerajaan.

Perdana Menteri Jepun,  Fumio Kishida selepas mesyuarat pasukan petugas kecemasan berkata, lebih 40 jam berlalu sejak bencana itu. 

Pihaknya menerima banyak maklumat tentang orang yang memerlukan penyelamatan dan masih ramai menunggu bantuan.

“Usaha menyelamat sedang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan, polis, bomba dan unit operasi lain manakala bilangan anggota dan anjing penyelamat dipertingkatkan.

“Bagaimanapun, kami meminta anda semua sedar bahawa kami sedang bersaing dengan masa dan terus melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa, mengutamakan nyawa orang ramai,” kata Kishida.

Operasi penyelamatan dilakukan segera kerana Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran hujan lebat di kawasan yang terlibat dengan kemusnahan.

“Berhati-hati dengan tanah runtuh sehingga petang Rabu,” kata agensi itu.

Di bandar pantai Suzu, Datuk Bandar Masuhiro Izumiya berkata, hampir tiada rumah yang berdiri teguh (ranap).

“Kira-kira 90 peratus rumah (di pekan) musnah sepenuhnya atau hampir sepenuhnya… keadaannya benar-benar malapetaka,” katanya menurut penyiar TBS.

Seorang wanita di pusat perlindungan di bandar Shika memberitahu TV Asahi bahawa dia tidak dapat tidur akibat gegaran susulan.

“Saya takut kerana kita tidak tahu bila gempa seterusnya akan berlaku,” katanya.

Hampir 34,000 isi rumah masih terputus bekalan elektrik di wilayah Ishikawa, kata utiliti tempatan.

Banyak bandar tidak mempunyai bekalan air.

Kereta api peluru dan lebuh raya Shinkansen beroperasi semula selepas beberapa ribu orang terkandas selama hampir 24 jam.

Kajian Geologi AS berkata, gempa itu mempunyai magnitud 7.5, manakala JMA mengukurnya pada 7.6, mencetuskan amaran tsunami besar.

Gempa bumi kuat itu adalah satu daripada lebih 400 gegaran yang menggegarkan wilayah itu hingga pagi ini, kata JMA.

Jepun menarik balik semua amaran tsunami selepas ombak sekurang-kurangnya 1.2 meter melanda bandar Wajima dan beberapa siri tsunami yang lebih kecil dilaporkan di tempat lain.

Jepun mengalami ratusan gempa bumi setiap tahun dan sebahagian besarnya tidak menyebabkan kerosakan.

Jumlah gempa bumi di wilayah Semenanjung Noto meningkat secara berterusan sejak 2018, kata laporan kerajaan Jepun tahun lepas.

Negara itu dihantui oleh gempa laut besar berukuran 9.0 magnitud di timur laut Jepun pada 2011, yang mencetuskan tsunami yang menyebabkan kira-kira 18,500 orang maut atau hilang.

Ia juga membanjiri loji atom Fukushima, menyebabkan salah satu bencana nuklear terburuk di dunia. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya