SHAH ALAM: Pengeluar produk roti, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. (Gardenia KL) bersedia memenuhi permintaan dan kehendak pasaran tempatan yang dijangka meningkat tahun ini.
Ia terutamanya melibatkan roti putih keluaran syarikat tempatan itu yang sentiasa mendapat permintaan tinggi.
Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun berkata, syarikat itu secara puratanya mampu mengeluarkan kira-kira 46,000 roti dalam tempoh sejam.
“Kapastiti pengeluaran menerusi mesin kilang itu masih kekal sama dan mencukupi. Gardenia masih mengeluarkan roti dalam kuantiti sama setakat ini dan ia bergantung kepada kapasiti mesin sedia ada.
“Jumlah itu dianggap mencukupi bagi memenuhi kehendak pasaran jika menerima permintaan tinggi kelak,” katanya ketika ditemui di Kilang Gardenia Bakers Maison, Seksyen 26 di sini, hari ini.
Terdahulu, kilang itu dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dengan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia KL, Koh Chin Huat.
Beliau menjelaskan, syarikat ketika ini memiliki lima kilang induk pengeluaran roti di sekitar Lembah Klang.
“Selain itu, kita turut mempunyai kilang lain bagi semua produk lain termasuk mi segera. Semua produk syarikat itu juga masih dikeluarkan dalam kapasiti sama dan mencukupi,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya kekal konsisten menawarkan produk yang relevan dengan kehendak pasaran negara ini.
“Sebagai contoh, roti putih sudah menjadi satu barang keperluan yang dijadikan sebagai sarapan pagi bagi rakyat. Justeru, syarikat yang bertapak di Malaysia sejak 1986 ini perlu komited memastikan makanan itu terus dijamin berkualiti dan diterima baik oleh pelanggan,” jelasnya. – UTUSAN