Gangguan bekalan air: Pihak industri Pulau Pinang beli air dari Perak - Utusan Malaysia

Gangguan bekalan air: Pihak industri Pulau Pinang beli air dari Perak

DERETAN lori yang menunggu giliran mengisi air dari loji rawatan air LAP Sungai Rawa di Bagan Serai sebelum dibawa kepada pihak industri di Pulau Pinang yang mengalami gangguan bekalan air. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Tanda tanya mengenai berpuluh-puluh lori tangki di tepi Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth menunggu giliran mengisi air dari loji rawatan air Lembaga Air Perak (LAP) Sungai Rawa di sini terjawab apabila lori tersebut membawa air ke Pulau Pinang yang mengalami gangguan bekalan air ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak LAP, air tersebut dibeli oleh pihak industri di Pulau Pinang.

“Info (maklumat) dari LAP. Loji air di Pulau Pinang ditutup. Pengilang-pengilang di Pulau Pinang beli air dari LAP,” katanyan melalui pesanan di aplikasi WhatsApp.

Terdahulu, kehadiran berpuluh buah lori tangki di tepi Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth menunggu giliran untuk mengisi air dari loji rawatan air LAP di Sungai Rawa di sini menimbulkan pertanyaan ramai.

Pemandu lori yang ditemui berkata, mereka menerima arahan untuk mengisi air ke dalam tangki treler untuk di bawa ke Pulau Pinang.

“Saya hanya menerima arahan daripada majikan sahaja, begitu juga dengan kawan-kawan yang lain. Air ini akan dibawa ke Pulau Pinang hari ini,” kata seorang pemandu lori yang enggan dikenali.

Menurut sumber di lapangan, dianggarkan 60 buah lori tangki sudah selesai mengisi air terawat di loji rawatan air LAP itu sebelah pagi.

Semalam, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan kira-kira 590,000 atau lebih 80 peratus penduduk Pulau Pinang akan berdepan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula hari ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Menurut PBAPP, sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam, manakala 157 kawasan membabitkan daerah SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam.

Bagi memberi kemudahan kepada penduduk sepanjang berdepan gangguan, PBAPP akan menggunakan 99 lori tangki air termasuk 27 lori tangki jumbo berkapasiti 40,000 liter untuk menghantar bekalan kepada pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air yang dijangka hingga 6 pagi 14 Januari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya