BESUT: Kerajaan negeri memberi jaminan masalah gangguan bekalan air melibatkan 11 buah kampung di daerah ini yang berpunca daripada kebocoran paip di dasar Sungai Besut berhampiran Jambatan Kampung Lampu, dekat sini dapat diselesaikan pada 21 Januari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerja-kerja membaiki kebocoran paip bersaiz 600 milimeter (mm) yang berlaku sejak 1 Januari lalu sedang giat dijalankan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU).
Menurutnya, tindakan segera telah diambil dalam usaha untuk memastikan bekalan air yang melibatkan seramai 2,670 akaun pengguna kembali pulih mengikut jadual yang ditetapkan.
“Kerja-kerja membaiki kebocoran paip.air itu telah mencapai kemajuan kira-kira 30 peratus dan kerja-kerja permulaan sahaja mengambil.masa, apabila sudah bergerak ia lebih cepat.
“Kita jangkakan dalam tempoh seminggu hingga 10 hari, insya-Allah penyambungan dapat disiapkan dan kembali seperti biasa kepada pengguna di daerah ini. Setakat ini mengikut perancangan,” katanya ketika ditemui selepas kerja-kerja pemasangan dan pembaikian paip di Sungai Besut dekat sini, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, penduduk yang terlibat dengan gangguan bekalan air itu tidak perlu bimbang kemungkinan gangguan bekalan air itu berlarutan dalam tempoh lebih lama memandangkan kerja-kerja membaiki kebocoran paip itu lebih cepat.
“Kerja-kerja membaiki kebocoran paip yang berlaku di Kuala Terengganu sebelum ini agak kompleks sikit sebab kita cuba selesaikan secara terus di bawah air tetapi di Besut kita buat cara berbeza sikit dan ia lebih cepat, insya-Allah,” tambahnya.
Utusan hari ini melaporkan penduduk di sekitar Kuala Besut di sini mengakui sudah penat menghadapi masalah bekalan air susulan kebocoran paip di dasar sungai di Besut sejak 1 Januari lalu. – UTUSAN