Gangguan air: 'Saya boleh tangguh jika mahu jadi popular' - Kon Yeow  - Utusan Malaysia

Gangguan air: ‘Saya boleh tangguh jika mahu jadi popular’ – Kon Yeow 

CHOW Kon Yeow (tengah) mendengar taklimat mengenai penggunaan tangki jumbo oleh PBAPP di pekarangan Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menjelaskan beliau boleh mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk menangguhkan kerja-kerja pembaikan paip di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua sekiranya mahu menjadi popular.

Bagaimanapun, Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, beliau tidak berbuat demikian kerana mempunyai kewajipan dan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri.

”Kalau saya mahu jadi popular saya minta PBAPP tangguh operasi dan tunggu Ketua Menteri seterusnya untuk memikul tanggungjawab ini.

”Tetapi kewajipan, tanggungjawab dan hati nurani saya tidak membenarkan saya berbuat begitu,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Stadium Bandaraya, di sini hari ini.

Kon Yeow mengulas mengenai teguran bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menerusi klip video yang tular pada sesi taklimat tertutup diadakan beberapa hari lalu susulan gangguan air berjadual.

Menerusi klip video itu, Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih turut menggesa lebih banyak lori tangki air ditempatkan di kawasan paling terjejas kerana ia lebih utama berbanding menggesa rakyat menyimpan air.

Terdahulu, Kon Yeow meninjau ‘tangki jumbo’ yang diletakkan di pekarangan stadium berkenaan oleh PBAPP sebagai persiapan menghadapi gangguan air bermula Rabu ini hingga 14 Januari ini.

Menurut Kon Yeow, penjelasan yang beliau berikan berhubung isu gangguan bekalan air itu mencukupi dan tidak perlu mana-mana pihak mempertikaikan lagi isu itu.

“Kita tidak perlu gaduh, tidak perlu pertikai apa-apa pun, cuma fokus kepada kerja-kerja wajib sahaja,” katanya.

Tambah beliau, pada tempoh yang masih berbaki ini semua pihak harus memberikan fokus kepada kerja-kerja pembaikan injap kawalan dan semua kerja-kerja berkaitan agar ia dapat dijalankan dengan lancar.

”Kita harap semasa kerja ini dijalankan keadaan cuaca adalah baik, tidak ada gangguan teknikal atau insiden yang berlaku secara tiba-tiba seperti banjir di Sungai Muda dan sebagainya.

”Ini kerana banyak faktor lain yang boleh mempengaruhi kerja-kerja ini, tetapi kita harap ia berjalan dengan lancar seperti tempoh yang ditetapkan, setelah ia habis, maka proses pemulihan boleh bermula,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada penjawat awam dibenarkan untuk bekerja di rumah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berlalu, Kon Yeow berkata, beliau berpandangan ketika krisis sebegitu berlaku penjawat awam perlu berada di lapangan.

”Saya rasa dalam krisis sedemikian, penjawat awam perlu turun ke lapangan dan bukan berada di rumah, mereka boleh membantu dalam apa bentuk juga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya