Gangguan air: Pengusaha kedai makan guna pinggan, cawan pakai buang - Utusan Malaysia

Gangguan air: Pengusaha kedai makan guna pinggan, cawan pakai buang

SURINA Ahmad menunjukkan air yang disimpan di dalam tong yang digunakan di kedai makannya di Teluk Kumbar, Pulau Pinang sepanjang ketiadaan bekalan air bermula hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Aktiviti perniagaan membabitkan restoran serta gerai-gerai makan di sekitar Teluk Kumbar di sini, berjalan seperti biasa walaupun gangguan bekalan air berjadual bermula hari ini.

Bagaimanapun, menerusi tinjauan, terdapat beberapa buah restoran di sekitar Bandar Baru Perda di Teluk Kumbar, ditutup buat sementara waktu sehingga bekalan air pulih.

Seorang peniaga gerai makanan dan minuman, Surina Ahmad berkata, dia menggunakan air yang disimpan di dalam beberapa buah tong besar yang diletakkan digerainya untuk terus berniaga.

”Air yang disimpan ini ditadah semalam, setakat ini saya masih berniaga kerana air yang disimpan masih ada, mungkin air ini dapat bertahan sehingga tiga hari.

”Sekiranya air yang disimpan sudah habis mungkin saya tidak berniaga. Saya juga menggunakan pinggan pakai buang bagi menjimatkan air semasa gangguan air berlaku,” katanya di sini hari ini.

Mulai hari ini sehingga 14 Januari, kira-kira 590,000 pengguna air di negeri ini termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama akan mengalami gangguan bekalan air.

Gangguan tersebut berlaku untuk membolehkan PBAPP menjalankan kerja pembaikan paip segera di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Dalam pada itu, seorang pengurus di sebuah restoran nasi kandar di sini, Abbas Ali berkata, operasi restoran berkenaan berjalan seperti biasa sepanjang gangguan air berjadual berlaku.

”Restoran nasi kandar ini mempunyai empat tangki simpanan air dan ia digunakan untuk membasuh pinggan serta digunakan untuk kegunaan pekerja yang tinggal di tingkat atas bangunan ini.

“Untuk memasak makanan serta membancuh minuman, kami gunakan air mineral serta kiub ais sehingga bekalan air pulih semula,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, restoran nasi kandar berkenaan juga menggunakan pinggan pakai buang semasa gangguan air berjadual berlaku bagi mengelak penggunaan air yang banyak pada masa ini.

”Pekerja di restoran ini seramai 11 orang dan kami tinggal di tingkat atas bangunan ini.

”Kami memilih untuk mandi di anak sungai di kawasan berhampiran bagi menjimatkan air yang disimpan sepanjang gangguan air berlaku,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya