Gangguan air: Pengapit paip meletup tidak jejas kerja pembaikan - Utusan Malaysia

Gangguan air: Pengapit paip meletup tidak jejas kerja pembaikan

K. PATHMANATHAN (tiga dari kiri) melihat kerja-kerja penggantian dua unit injap kawalan 1.2m yang baharu (berwarna biru) akibat kebocoran di LPA Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Kerja-kerja pembaikan paip bawah air oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di Sungai Perai yang bermula tengah malam tadi sedikit terganggu apabila pengapit paip bawah air 1,350 milimeter (mm) yang dipasang sejak bulan lepas dikatakan meletup kira-kira pukul 3.45 pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan berkata, ia berlaku apabila terdapat penurunan tekanan air susulan penutupan bekalan air pagi ini hingga menyebabkan pengapit yang dipasang pada bahagian paip yang bocor itu tercabut.

Bagaimanapun, kata beliau, isu itu berjaya ditangani dengan kehadiran kira-kira 16 penyelam komersial yang ditugaskan untuk memasang pengapit yang lebih selamat pada bahagian yang lebih besar daripada saluran paip yang bocor itu.

Pada masa sama, Pathmanathan berkata, projek kerja utama iaitu penggantian dua unit injap kawalan 1,200mm yang bocor di LPA Sungai Dua di sini juga berjalan dengan baik seperti yang dirancang.

K. PATHMANATHAN menunjukkan injap kawalan lama yang menjadi punca kepada masalah kebocoran di LPA Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.

“Kami telah mencapai kemajuan sehingga 60 peratus untuk salah satu injap ini manakala injap kedua pula sebanyak 30 peratus (tahap kemajuan).

“Sehubungan itu, kami yakin segalanya akan berjalan seperti yang dijadualkan dan kerja-kerja pemulihan bekalan air Peringkat 1 dijangka bermula seawal 6.01 pagi esok,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Selain memaklumkan mengenai perkembangan semasa kerja-kerja pembaikan susulan gangguan bekalan air berjadual di Pulau Pinang yang bermula hari ini, Pathmanathan turut meninjau kerja-kerja penggantian injap kawalan di loji itu serta paip yang bocor di Sungai Perai, awal pagi tadi.

Mengulas lanjut mengenai insiden yang berlaku di Sungai Perai, kata Pathmanathan, PBAPP sememangnya telah bersedia dengan segala kemungkinan kerana kumpulan penyelam terbabit telah digerakkan lebih awal ke lokasi.

“Masalah ini memang telah dijangka, maka, sebab itulah kita mahu mengukuhkan paip tersebut buat masa ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk menggantikan paip dalam air yang lama itu bagi membina saluran paip ‘melintas’ sungai baharu selepas ini.

Tambah Pathmanathan, projek tersebut bagaimanapun memerlukan kelulusan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri serta beberapa agensi berkaitan sebelum direalisasikan.

“Lagipun, ia memerlukan lima hingga ke lapan bulan untuk dibina. Jadi, buat sementara waktu, PBAPP akan pastikan bahawa tapak (paip) sedia ada itu masih boleh bertahan buat masa ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya