BUKIT MERTAJAM: Berbaki kurang 24 jam sebelum berlakunya gangguan air secara berjadual di hampir keseluruhan negeri ini, rata-rata penduduk khususnya di Seberang Perai mula membuat persiapan akhir.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa beberapa lokasi tumpuan di sini mendapati, beberapa pasar raya, kedai runcit dan serbaneka tidak melepaskan peluang mengaut keuntungan dengan menjual air minuman dalam kuantiti pukal selain melonggokkan tong-tong dan bekas simpanan air di hadapan premis masing-masing untuk menarik perhatian pembeli.
Meskipun mendapat sambutan yang baik, namun rata-rata peniaga berpendapat, kerancakan itu agak kurang jika dibandingkan dengan sambutan yang diterima beberapa hari lalu.
Hal ini demikian kerana, kata mereka, kemungkinan orang ramai telah membuat persiapan lebih awal untuk mengelakkan daripada berlakunya kesesakan atau pembelian panik di saat akhir.
Seorang peniaga, Ahmad Hambali Abdullah, 38, berkata, sejak minggu lepas, dia sudah beberapa kali membuat pesanan semula untuk mendapatkan bekalan air minuman serta tong simpanan air kerana mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai.
“Mereka yang datang ke kedai saya kebanyakannya lebih suka membeli air minuman daripada air mineral, mungkin disebabkan harganya yang lebih murah.
“Selain itu, ramai juga yang memilih untuk membeli tong simpanan air bersaiz sederhana atau tak sampai 100 liter hingga tong-tong tersebut lebih laku berbanding tong-tong lain,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Bagi seorang pengguna, Siti Naemah Abdul Jalil, 31, pula, dia dan suaminya, Mohd. Iqbal Ismail, 33, memilih untuk memasak sendiri air minuman sejak beberapa hari lalu untuk digunakan sepanjang tempoh gangguan bekalan air itu berbanding membelinya di kedai.
“Air untuk minum itu rasanya dah lebih daripada cukup. Lagipun, kami hanya tiga beranak sahaja termasuk seorang anak perempuan kami yang baru berumur lima tahun.
“Sekarang, kami cuma perlukan satu atau dua tong lagi untuk simpan air bagi kegunaan lain termasuk mandi dan sebagainya,” katanya yang bekerja sebagai kerani di sebuah firma guaman.
Seorang lagi pengguna, Mohd. Akmal Salleh, 36, memberitahu, dia terpaksa membuat persiapan pada saat-saat terakhir kerana sibuk dengan urusan kerja sebelum ini.
“Mula-mula tu macam panik juga apabila tengok orang lain ‘dok’ kalut beli itu ini sedangkan saya tak buat apa-apa persiapan pun lagi.
“Tapi selepas terbaca satu laporan berita yang beritahu kerajaan negeri bagi jaminan akan sediakan bekalan air yang cukup, legalah sikit,” ujar pekerja swasta yang baharu mendirikan rumahtangga hujung tahun lepas itu.
Gangguan bekalan air berjadual itu dijangka bermula seawal pukul 6 pagi esok sehingga selewat-lewatnya Ahad depan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini. – UTUSAN