GEORGE TOWN: Semua pelajar kecuali pelajar Tingkatan Lima dan Kolej Pra-Universiti di negeri ini akan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan gangguan bekalan air berjadual di negeri ini selama empat hari bermula 10 Januari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan berkata, pelajar Tingkatan Lima dan Kolej Pra-Universiti akan menjalani pembelajaran seperti biasa di sekolah susulan peperiksaan yang telah dijadualkan.
“Kita telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakan PdPR dalam tempoh terbabit.
“Surat makluman berhubung pembelajaran menerusi PdPR ini akan diedarkan kepada pihak sekolah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, pihaknya telah melakukan persiapan mendepani gangguan bekalan air termasuk mendapatkan bantuan bekalan air dari beberapa negeri.
Katanya, perbincangan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah berlangsung dan agensi itu bersetuju untuk membantu mendapatkan bekalan air dari negeri lain.
“Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang memuktamadkan lokasi untuk menempatkan tangki air, fokus kita kepada kawasan kritikal seperti Balik Pulau, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Sungai Ara.
“Tangki berkapasiti 25,000 liter akan ditempatkan secara statik manakala tangki kecil akan digerakkan ke kawasan berlainan ikut keperluan,” katanya.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, pembekalan air semula kepada pengguna akan dilakukan sejurus kerja penggantian dua injap berdiameter 1200 milimeter (mm) pada saluran paip air terawat utama Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua selesai.
“Mungkin daerah Seberang Perai Utara (SPU) akan menerima bekalan air memandangkan kawasan itu berhampiran dengan loji rawatan dan diikuti daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan lain-lain,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan 590,000 akaun pengguna PBAPP bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 10 Januari ini susulan kerja pembaikan paip segera di LRA Sungai Dua.
Susulan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama PBAPP menyediakan beberapa unit tangki air jumbo di setiap daerah sebagai persiapan menghadapi gangguan bekalan air tersebut. – UTUSAN