GEORGE TOWN: Operasi di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang merupakan hospital utama di negeri ini serta semua fasiliti kesihatan termasuk klinik dan hospital awam lain di Pulau Pinang tidak akan terjejas walaupun gangguan bekalan air berjadual berlaku minggu depan.
Pengerusi Jawatankuas Kesihatan, Belia dan Sukan, Daniel Gooi berkata, kesemua fasiliti kesihatan awam di negeri ini mempunyai simpanan bekalan air untuk kegunaan selama 48 jam.
”Operasi di HPP tidak akan terjejas dengan gangguan bekalan air, cuma di hospital awam yang lain akan ada penjadualan semula untuk pelaksanaan pembedahan ketika gangguan air berlaku.
”Bagi kes yang sudah ada janji temu, penjadualan semula akan dijalankan iaitu sama ada akan diawalkan atau dilewatkan.
“Selain itu, operasi di semua klinik pergigian akan ditangguhkan kerana jenis klinik ini perlu menggunakan air yang banyak dan operasi harian mereka,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 590,000 pengguna air di negeri ini termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama akan mengalami gangguan bekalan air selama empat hari mulai 10 hingga 14 Januari tahun depan.
Gangguan tersebut berlaku untuk membolehkan PBAPP menjalankan kerja pembaikan paip segera di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
Menurut Daniel, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga akan menghantar lori tangki ke semua hospital, klinik kesihatan dan hospital swasta di seluruh negeri bagi memastikan bekalan air sentiasa ada di situ.
“Semua klinik kesihatan, hospital awam, hospital swasta, pusat dialisis awam dan swasta akan beroperasi seperti biasa, PBAPP juga akan menghantar bekalan air melalui tangki air.
“PBAPP juga sudah membuat penyelarasan dengan semua hospital dan klinik terlibat,” katanya. – UTUSAN