Gangguan air: Majoriti kilang terutama PKS terpaksa tutup operasi 2 hari - Utusan Malaysia

Gangguan air: Majoriti kilang terutama PKS terpaksa tutup operasi 2 hari

LEE TEONG LI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Majoriti pemilik kilang di negeri ini tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menutup operasi kilang masing-masing sekurang-kurangnya dua hari semasa tempoh gangguan bekalan air berjadual berlaku bermula minggu depan.

Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Cawangan Pulau Pinang, Datuk Seri Lee Teong Li berkata, pengesahan mengenai kilang-kilang terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bakal menutup operasi itu diperoleh menerusi tinjauan dan maklum balas yang diterima daripada pemilik-pemilik kilang tersebut yang juga ahli FMM.

“Boleh dikatakan majoriti ahli FMM memaklumkan mereka akan menutup operasi kilang pada hari pertama dan kedua semasa gangguan air berlaku.

”Ini kerana kebanyakan ahli kami terdiri daripada kilang yang terlibat dengan industri makanan, ‘metal fabrication’, ‘metal polishing’ dan lain-lain yang menggunakan air yang banyak ketika beroperasi.

”Ada juga ahli FMM yang terdiri daripada kilang-kilang elektrik, kilang ‘mix chemical’, sekurang-kurangnya dua hari akan ditutup (operasi), hari ketiga kilang-kilang akan dalam tempoh ‘standby’ untuk lihat sama ada bekalan air sudah diperoleh atau tidak,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 590,000 pengguna air di negeri ini termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama akan mengalami gangguan bekalan air selama empat hari mulai 10 hingga 14 Januari tahun depan.

Menurut Teong Li, langkah penutupan operasi kilang-kilang itu tidak dapat dielakkan kerana majoriti kilang menggunakan air yang banyak ketika beroperasi setiap hari.

“Kalau kilang proses bahan makanan, sudah pasti gunakan air yang banyak dalam operasi mereka.

“Kilang buat ‘plating’ kena juga gunakan air untuk proses pembersihan, kalau kilang hasilkan air minuman sama juga, air kena masuk ke kilang dan mereka tidak boleh beroperasi jika tiada air,” katanya.

Tambah beliau, gangguan bekalan air itu semestinya menyebabkan kilang-kilang mengalami kerugian kerana tidak dapat mencapai sasaran pengeluaran dan jualan bulan ini kerana penutupan operasi kilang.

”Yang rugi ialah kita tidak dapat capai sasaran kerana perlu menutup operasi, mungkin ada kilang-kilang besar juga akan menutup operasi sehingga tiga hari bergantung kepada bila bekalan air pulih.

”Kilang-kilang juga mungkin akan melaksanakan kerja lebih masa untuk menggantikan semula kerja-kerja yang perlu dijalankan semasa tempoh ‘shut down’,” katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau, tangki-tangki air yang ada di setiap kilang hanya boleh bertahan selama 48 jam untuk kegunaan biasa seperti kegunaan di tandas, bukan untuk operasi harian kilang.

Selain itu, katanya, pihak kilang juga telah mengeluarkan notis awal kepada para pekerja yang mana operasi kilang akan dihentikan sekurang-kurangnya dua hari.

”Kami berharap Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan segera melaksanakan kerja-kerja yang perlu dibuat dan menyalurkan air dengan cepat untuk membolehkan kilang-kilang meneruskan operasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya