BALING: Galeri Rundingan Baling di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putra, di sini yang menjadi tempat bersejarah dalam usaha menamatkan pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) kira-kira 69 tahun lalu kini dibuka semula kepada orang ramai.
Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri berkata, Jabatan Warisan Negara menjalankan kerja-kerja konservasi pembaikan bangunan yang selesai pada hujung 2021 sebelum pada tahun berikutnya Kementerian Pelancongan meluluskan peruntukan RM270,000 bagi menyiapkan galeri pameran tetap.
“Ruang asal Galeri Rundingan Baling ini merupakan tempat rehat pemimpin PKM semasa rundingan tersebut berlaku dan tempat bersejarah sebegini harus dipelihara untuk tatapan generasi pada masa hadapan.
“Maka galeri ini dibuka dalam mempamerkan pelbagai peristiwa bersejarah berkaitan Baling yang berlaku sebelum kemerdekaan seperti darurat, sejarah PKM, pendudukan Jepun, kezaliman komunis, pembanterasan fahaman itu, kesan darurat, kepimpinan tempatan dan peristiwa Rundingan Baling,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Galeri Rundingan Baling yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Daerah Baling, Datuk Abdul Gafar Yahya dan Pakar Sejarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd. Kasri Saidon serta Prof. Madya Dr. Mohamed Ali Haniffa.
Rundingan Baling pada 28 dan 29 Disember 1955 merupakan detik bersejarah dalam usaha menamatkan pemberontakan bersenjata PKM di mana rundingan itu melibatkan pihak Kerajaan Persekutuan terdiri daripada Tunku Abdul Rahman, Datuk Tan Cheng Lock dan David Marshall manakala PKM diwakili Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin.
Sementara itu, Abdul Gafar berkata, Galeri Rundingan Baling buat masa ini hanya dibuka pada setiap hari Ahad memandangkan masih terdapat kerja-kerja penambahbaikan dan naik taraf infrastruktur bagi memastikan keselesaan para pengunjung.
“Dengan sokongan Kerajaan Persekutuan dan pentadbiran negeri, galeri ini dibuka kembali kepada orang ramai setelah tidak beroperasi sejak kira-kira lima tahun lalu.
“Kemasukan adalah percuma, malah galeri ini turut mempamerkan sejarah asal usul nama Baling di samping memaparkan tentang kisah hidup masyarakat dan kegiatan ekonomi pada zaman dahulu di sekitar daerah ini,” ujarnya.
Tambah beliau, Baling akan menjadi daerah Eko-Pelancongan pada 2035 dan pembukaan Galeri Rundingan Baling itu antara persediaan bagi mengikuti kalendar kerajaan negeri dalam Tahun Melawat Kedah. –UTUSAN